Eropah berisiko hilang kedudukan dalam perlumbaan untuk menjadi kuasa besar dalam bateri EV global berikutan akses kepada bahan mentah kekal menjadi penghalang utama bersama-sama dengan peningkatan kos dan persaingan sengit, kata laporan oleh Mahkamah Juruaudit Eropah (ECA) pada Isnin.
Laporan itu memberi amaran bahawa Kesatuan Eropah berkemungkinan gagal mencapai matlamat perubahan iklimnya kerana usaha itu sangat bergantung pada pengambilan kenderaan elektrik yang beroperasi menggunakan bateri yang terdiri daripada koktel logam daripada kobalt hingga nikel dan litium.
ECA, juruaudit luar bebas EU, berkata hampir satu daripada lima kereta baharu yang didaftarkan di blok itu pada 2021 mempunyai palam elektrik.
Permintaan dijangka meningkat dengan kira-kira 30 juta kenderaan pelepasan sifar dijangka berada di jalan raya Eropah menjelang 2030, dan penjualan kereta petrol dan diesel baharu akan diharamkan menjelang 2035.
Namun begitu, strategi EU tidak mengambil kira keupayaan blok itu untuk memenuhi permintaan bateri baharu ini.
“EU bercita-cita untuk menjadi kuasa besar bateri global bagi memastikan kedaulatan ekonominya tetapi adakah ia akan berjaya? Kemungkinannya tidak kelihatan begitu baik,” kata Annemie Turtelboom, ketua audit ECA.
“Kami menghadapi risiko sama ada EU akan terlepas sasaran dalam perubahan iklimnya untuk 2035 atau ia akan mencapai sasaran ini melalui bateri yang diimport…yang akan membahayakan industri Eropah dan datang pada harga yang sangat tinggi dari negara ketiga,” ujarnya.
Pembekalan bahan mentah EU sangat tertumpu di beberapa negara yang mempunyai risiko geo-politik yang boleh mengakibatkan kekurangan. Bagi lima bahan utama, pergantungan import EU pada purata 78 peratus, kata ECA.
“EU tidak boleh berakhir dalam kedudukan bergantung yang sama dengan bateri seperti yang berlaku dengan gas asli dari Rusia,” jelas Turtelboom.