car-2nd-eksport

Jepun Akan Lanjutkan Larangan Eksport Kereta Ke Rusia Mulai 9 Ogos

Jepun akan melanjutkan larangan eksport kereta mewah ke Rusia mulai bulan depan, meliputi semua kenderaan baharu dan terpakai melebihi 1900 cc.

Larangan itu diumumkan oleh kerajaan pada hari Jumaat, meningkatkan lagi sekatan terhadap Moscow berhubung pencerobohannya ke atas Ukraine.

Kabinet Jepun semalam memutuskan untuk menyemak semula perintah kawalan eksport yang melarang eksport barangan ke Rusia, kata Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Yasutoshi Nishimura.

“Dengan itu, eksport ke Rusia bagi kereta lebih 1900 cc, kereta penumpang enjin hibrid dan tayar kenderaan besar dan sebagainya akan diharamkan mulai 9 Ogos,” kata Nishimura.

Larangan yang diperluaskan itu juga termasuk hibrid, hibrid plug-in dan kenderaan elektrik, jelas beliau.

Kerajaan Jepun dilaporkan akan mendedahkan butiran tepat mengenai barangan yang terjejas seminggu sebelum ia berkuat kuasa.

Larangan eksport Jepun yang lebih meluas ke atas kereta meletakkannya sejajar dengan tindakan Kesatuan Eropah yang telah mengumumkan larangan kenderaan 1900-cc pada 23 Jun lalu.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *