Rusia mengatasi Arab Saudi untuk menjadi pembekal minyak mentah utama China pada 2023 berikutan negara tembok besar itu mengetepikan sekatan Barat bagi membeli sejumlah besar minyak diskaun untuk kilang pemprosesannya.
Data kastam Beijing menunjukkan Rusia telah menghantar rekod 107.02 juta tan metrik minyak mentah ke China pada tahun lalu, bersamaan dengan 2.14 juta tong sehari (bpd), jauh lebih banyak daripada pengeksport minyak utama lain seperti Arab Saudi dan Iraq.
Import dari Arab Saudi yang sebelum ini merupakan pembekal terbesar China, turun 1.8 peratus kepada 85.96 juta tan, susut susulan harga minyak mentah Rusia yang lebih murah.
Rusia yang dihindari oleh banyak pembeli antarabangsa berikutan sekatan Barat telah menyebabkan minyak mentah Rusia didagangkan pada potongan harga yang besar berbanding penanda aras antarabangsa untuk sebahagian besar tahan lalu, di tengah-tengah had harga yang dikenakan oleh Barat.
Permintaan yang semakin pantas daripada China dan India untuk minyak diskaun itu telah meningkatkan harga minyak mentah ESPO Rusia sehingga 2023, melepasi had harga setong Kumpulan Tujuh AS$60 yang dikenakan pada Disember 2022 sebagai pilihan perkapalan dan insurans alternatif untuk mengelak sekatan yang berleluasa.
Pada waktu yang sama, Arab Saudi telah menaikkan harga minyak mereka mulai Julai, mendorong beberapa syarikat penapisan untuk mencari kargo yang lebih murah.
Bagi menyokong peningkatan harga, Arab Saudi dan Rusia, dua daripada tiga pengeluar minyak utama dunia, mengumumkan pengurangan pengeluaran dan eksport tahun lepas.
Arab Saudi melancarkan pemotongan keluaran sebanyak 1 juta tong sehari pada suku ini, manakala Rusia berkata ia akan memperdalam pengurangan eksport tahun ini kepada 500,000 tong sehari daripada 300,000 tong sehari.