Jambatan Francis Scott Key Baltimore yang runtuh berpotensi menyebabkan syarikat-syarikat insurans menanggung beberapa bilion dolar dalam tuntutan, lapor Reuters.
Namun begitu, masih terlalu awal untuk mengira kemungkinan kerugian kewangan penuh tragedi yang telah menutup salah satu pelabuhan paling sibuk di Amerika Syarikat itu.
Enam orang masih dilaporkan hilang selepas perlanggaran dengan kapal kontena berbendera Singapura yang telah memusnahkan jambatan mercu tanda pada 27 Mac yang lalu, memaksa penutupan Pelabuhan Baltimore.
Berdepan dengan sedikit maklumat tentang bila pelabuhan akan dibuka semula, penanggung insurans dan penganalisis kini menilai kemungkinan kerugian yang ditanggung oleh penjmain merentasi beberapa barisan produk termasuk hartanah, kargo, marin, liabiliti, kredit perdagangan dan gangguan perniagaan luar jangka.
“Walaupun jumlah kos jambatan runtuh dan tuntutan berkaitan belum jelas untuk beberapa waktu, ia berkemungkinan mencecah berbilion dolar,” kata Mathilde Jakobsen, pengarah kanan, analisis di agensi penarafan insurans AM Best.
Insurans liabiliti kapal, yang melindungi kerosakan dan kecederaan alam sekitar marin, disediakan melalui penanggung insurans perlindungan dan indemniti yang dikenali sebagai Kelab P&I.
Kumpulan Antarabangsa Kelab P&I secara kolektif menginsuranskan kira-kira 90 peratus daripada tan ke lautan dunia dan ahli kelab P&I saling menginsuranskan semula antara satu sama lain dengan berkongsi tuntutan melebihi AS$10 juta.
Menurut AM Best, kumpulan itu memegang lebihan am perlindungan insurans semula kerugian sehingga nilai AS$3.1 bilion.