Apple kini berdepan perbicaraan di Mahkamah Rayuan Persaingan London dengan tuntutan ganti rugi berjumlah £1.5 bilion (RM8.3 bilion) atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dominan melalui App Store di United Kingdom.
Tuntutan yang difailkan pada Mei 2021 ini mendakwa Apple melanggar undang-undang persaingan UK dan Eropah dengan menghalang kedai aplikasi lain daripada beroperasi pada peranti iOS seperti iPhone dan iPad.
Akibatnya, kira-kira 20 juta pengguna didakwa membayar harga berlebihan kerana terpaksa menggunakan App Store milik Apple secara eksklusif. Tindakan Apple mengenakan caj tambahan sebanyak 30% ke atas pembelian aplikasi juga didakwa membebankan pengguna biasa.
Tuntutan ini diketuai oleh Rachael Kent, seorang pensyarah Ekonomi Digital di King’s College London, bersama firma guaman Hausfeld & Co.
Beliau menyatakan pengguna yang membuat pembelian aplikasi atau langganan antara 1 Oktober 2015 hingga 15 November 2024 mungkin layak mendapat pampasan. Apple menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkan tuntutan itu tidak berasas.
Dalam kenyataan tahun 2022, Apple menjelaskan bahawa 85% aplikasi di App Store adalah percuma dan kadar komisen mereka sejajar dengan pasaran digital lain. Syarikat itu turut menyatakan komitmen mereka terhadap inovasi ekonomi UK serta manfaat teknologi yang disediakan kepada pengguna.
Siasatan terhadap amalan Apple berkaitan App Store semakin meningkat di peringkat global. Suruhanjaya Eropah mendakwa syarikat itu melanggar peraturan digital dengan menghalang pembangun aplikasi daripada menawarkan saluran alternatif kepada pengguna.
Sebagai tindak balas, Apple telah bersetuju melonggarkan peraturan mereka di Kesatuan Eropah dengan membenarkan pengguna memadam App Store dan menggunakan platform pesaing. Menurut Kent, tindakan undang-undang kolektif penting untuk memastikan Apple tidak terus menyekat persaingan.