Petronas akan mengurangkan lebih 5,000 orang jumlah pekerjanya

Aina Julia
4 Min Read

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dijangkan akan mengurangkan lebih 5000 orang pekerjanya sebagai langkah menyusun semula tenaga kerja selaras dengan persekitaran operasi yang kian mencabar dan berubah.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik, semua kakitangan yang terlibat akan dimaklumkan sebelum akhir tahun ini. Beliau turut mengumumkan bahawa syarikat minyak negara itu akan membekukan pengambilan pekerja baharu sehingga Disember 2026.

Petronas, yang kini mempunyai kira-kira 52,000 kakitangan di seluruh dunia, telah mengumumkan pada Februari lalu bahawa proses penyusunan semula ini akan bermula pada pertengahan tahun 2025.

Langkah penstrukturan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan teratur. Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa langkah ini penting demi kelangsungan Petronas: “Jika kita tidak menyusun semula sekarang, Petronas mungkin tidak akan wujud dalam tempoh 10 tahun akan datang.”

Beliau menjelaskan bahawa istilah “penyusunan semula” dipilih dengan teliti, dan menyangkal dakwaan bahawa ini adalah satu bentuk pembuangan pekerja. “Kita bermula dengan kerja apakah kerja yang perlu dikekalkan, dan apakah jawatan yang menyokong kerja itu. Kemudian kita cari orang yang sesuai. Bagi yang tidak lagi sesuai, kita perlu ambil tindakan,” katanya.

“Beberapa jawatan perlu dihapuskan kerana tugas tersebut tidak lagi relevan atau memberi nilai tambah dalam hala tuju Petronas 2.0,” tambah beliau.

Tengku Muhammad Taufik turut menegaskan bahawa keputusan ini tidak bergantung kepada harga minyak semasa. “Walaupun harga minyak mencecah AS$100 setong, saya tetap akan beritahu lembaga bahawa kita perlu lakukan ini,” katanya, sambil menambah bahawa margin keuntungan semakin mengecil dan medan minyak semakin kecil, menjadikan sasaran dividen sukar dicapai.

Orang ramai melihat kepada konflik Petronas-Petros sebagai faktor utama konflik kepada syarikat itu.

Petronas biasanya merangka bajet tahunan berdasarkan harga minyak mentah Brent sekitar AS$75 hingga AS$80 setong. Ketika ini, harga penanda aras global itu berada sekitar AS$65 setong, turun kira-kira 13 peratus tahun ini akibat ketegangan perdagangan global dan pemulihan pengeluaran oleh OPEC+.

Menurut beliau, setiap penurunan AS$1 setong boleh memberi kesan sekitar RM1 bilion terhadap keuntungan Petronas.

Walau bagaimanapun, Petronas masih mampu membayar dividen sebanyak RM32 bilion kepada kerajaan seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK2024), Petronas mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 32 peratus kepada RM55.1 bilion berbanding RM80.7 bilion pada tahun sebelumnya. Ini disebabkan oleh harga purata produk petroleum dan minyak mentah yang lebih rendah, serta penjualan kepentingan dalam kumpulan tenaga Afrika Selatan, Engen Group Ltd pada Mei 2024. Pada tahun kewangan 2023, keuntungan bersih Petronas juga susut sebanyak 21 peratus.

Sementara itu, Tengku Muhammad Taufik menafikan laporan bahawa Petronas akan keluar dari pasaran Kanada. Beliau menegaskan komitmen jangka panjang Petronas terhadap pelaburan dalam sektor tenaga negara itu. “Kanada penting dalam usaha kita mengekalkan kedudukan dalam sektor gas asli cecair (LNG),” katanya.

Petronas mengendalikan projek gas huluan North Montney Joint Venture dan merupakan rakan kongsi utama dalam projek LNG Canada – kemudahan LNG bernilai AS$40 bilion yang kini hampir siap di Kitimat, British Columbia.

Terdapat laporan bahawa Petronas sedang mendapatkan nasihat kewangan dan mula meninjau minat daripada pembeli berpotensi, dengan nilai perniagaan tersebut dianggarkan antara AS$6 bilion hingga AS$7 bilion.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *