PLUS Expressways Berhad dijangka memulakan ujian rintis bagi sistem tol tanpa palang atau Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada April 2025. Sistem ini membolehkan kenderaan melalui plaza tol tanpa perlu berhenti, sekali gus mengurangkan kesesakan dan mempercepatkan aliran trafik.
MLFF dilihat mampu memberi manfaat besar kepada pengguna lebuh raya dengan meningkatkan kecekapan perjalanan dan mengurangkan masa menunggu di plaza tol. Namun, pelaksanaan sistem ini memerlukan persetujuan daripada semua syarikat konsesi lebuh raya.
Kerajaan sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan semua 33 syarikat konsesi lebuh raya. Walaupun sebahagian besar syarikat bersetuju, terdapat beberapa syarikat yang masih belum memberikan persetujuan penuh dengan tarikh akhir rundingan ditetapkan pada 16 Disember 2024
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan kemudian mengumumkan bahawa rundingan telah tamat dan kertas cadangan mengenai pelaksanaan MLFF telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Januari 2025.
Pada 14 Januari, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menyatakan bahawa cadangan pelaksanaan MLFF sedang diperhalusi dengan teliti dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa. Oleh itu, tarikh pelaksanaan ujian rintis pada April 2025 masih bergantung kepada keputusan muktamad kerajaan.
Selain itu, kerajaan sedang menilai keperluan untuk meminda undang-undang bagi menangani isu pengguna yang mungkin mengelak daripada membayar tol apabila palang tol ditiadakan. Penguatkuasaan undang-undang yang berkesan amat penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan sistem MLFF ini.
Sebagai persediaan ke arah pelaksanaan penuh MLFF, kerajaan merancang memperkenalkan sistem pembayaran terbuka di lebuh raya dalam masa terdekat. Sistem ini akan membolehkan pengguna membuat pembayaran tol menggunakan kad kredit atau kad debit selain daripada Touch ‘n Go.