Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini mengumumkan dividen sebanyak 6.3% untuk tahun 2024, kadar tertinggi sejak 2017. Pencapaian ini mencerminkan strategi pelaburan yang berkesan dan komitmen KWSP dalam menjana pulangan optimum bagi ahlinya.
Pada tahun 2023, KWSP membuat keputusan untuk menjual saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada harga antara RM6.80 hingga RM7.70 seunit, menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen tahun tersebut.
Keputusan ini sebahagian daripada strategi dagangan aktif KWSP untuk memanfaatkan pergerakan harga saham dan menjana pendapatan pelaburan jangka pendek. Prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47% turut menjadi faktor utama strategi ini.
Penjualan saham dalam portfolio pelaburan adalah satu amalan biasa dalam mana-mana institusi pelaburan, termasuk dana pencen seperti KWSP. Ini adalah sebahagian daripada strategi pengimbangan semula aset bagi memaksimumkan keuntungan dan menguruskan risiko.
KWSP, seperti mana-mana pengurus dana profesional, tidak hanya bergantung kepada pemilikan jangka panjang tetapi juga mengambil peluang untuk merealisasikan keuntungan apabila sesuatu aset mencapai nilai yang dianggarkan optimum.
Tuduhan bahawa KWSP mengalami kerugian daripada penjualan saham MAHB adalah tidak berasas. Malah, KWSP berjaya merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023. Sejak tahun 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB mencapai nilai RM650 juta.
KWSP mengamalkan proses tadbir urus yang tegas melalui protokol perintang maklumat atau dikenali sebagai ‘Chinese wall’, yang merupakan amalan piawaian standard dalam kalangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan institusi kewangan.
Protokol ini memastikan pemisahan maklumat agar tidak berlaku sebarang percanggahan kepentingan yang boleh membawa risiko berlakunya ‘insider trading’, yang merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Pencapaian dividen 6.3% untuk tahun 2024 ini membuktikan keberkesanan strategi pelaburan KWSP dan komitmennya dalam memastikan pulangan yang mampan kepada pencarum, sambil menangkis kritikan tidak berasas mengenai keputusan pelaburannya.