Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini telah menjalankan siasatan berkaitan seorang bekas pemimpin negara berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram. Siasatan ini tertumpu kepada perbelanjaan negara sebanyak RM700 juta yang digunakan bagi tujuan promosi dan publisiti antara tahun 2020 hingga 2022, ketika beliau menerajui kerajaan selama 15 bulan.
Dalam operasi yang dijalankan, SPRM telah menahan empat bekas pegawai kanan yang pernah berkhidmat di bawah bekas pemimpin tersebut. Penahanan ini bertujuan membantu siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan pentadbiran terdahulu. Menurut laporan, SPRM telah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Sebagai langkah menangkis dakwaan serta kritikan yang mengatakan SPRM mengeluarkan kenyataan palsu atau bertindak atas arahan pihak tertentu, agensi tersebut telah mengambil inisiatif dengan mempamerkan barang rampasan dalam satu sidang media khas. Dalam sidang media itu, SPRM memperlihatkan wang tunai dalam pelbagai mata wang termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan. Selain itu, jongkong emas yang dirampas turut dipamerkan kepada umum bagi membuktikan ketelusan siasatan. Barang-barang berharga ini disita hasil operasi penggeledahan di tiga premis, termasuk sebuah ‘safehouse’ yang disyaki berkaitan dengan kes tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM menegaskan bahawa penemuan wang tunai dan jongkong emas tersebut mengesahkan bahawa bekas pemimpin berkenaan kini merupakan suspek dalam siasatan ini. Beliau juga menekankan bahawa SPRM menjalankan siasatan secara profesional tanpa dipengaruhi sebarang faktor politik serta berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan integriti.
Langkah SPRM mempamerkan barang rampasan ini bukan sekadar untuk menjawab tuduhan tidak berasas, tetapi juga bagi memastikan keyakinan masyarakat terhadap usaha membanteras rasuah terus terpelihara. Tindakan ini menzahirkan komitmen agensi dalam memastikan setiap siasatan dijalankan dengan adil, bebas daripada sebarang pengaruh luar, dan berpaksikan keadilan tanpa mengira kedudukan atau pangkat individu yang terlibat.