Lynas Rare Earths Ltd mengumumkan bahawa syarikat itu telah menandatangani perjanjian awal dengan kerajaan negeri Kelantan bagi pembekalan ‘mixed rare earths carbonate‘ sebagai bahan mentah masa depan untuk loji pemprosesan bahan lanjutan miliknya di Pahang.
Menurut kenyataan syarikat, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama Menteri Besar Inc (cabang pelaburan kerajaan negeri Kelantan) adalah tidak mengikat dan masih tertakluk kepada perundingan serta pemuktamadan perjanjian rasmi.

Lynas baru-baru ini memulakan pengeluaran pertama nadir bumi berat yang telah diasingkan di fasilitinya di Kuantan. Ini menjadikan loji tersebut satu-satunya pengeluar komersial bukan dari China bagi bahan penting yang digunakan secara meluas dalam kenderaan elektrik dan aplikasi elektronik canggih seperti mikro-kapasitor.
Loji milik syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Australia itu telah mengeksport produknya ke Asia Timur, Amerika Syarikat dan Eropah. Namun, ia pernah berdepan bantahan awam tempatan berhubung isu sisa toksik. Pihak berkuasa Malaysia telah mengesahkan bahawa loji itu selamat dan Lynas juga telah membina kemudahan pelupusan kekal untuk menyimpan sisa radioaktif.
Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama memajukan industri nadir bumi di Kelantan dan berusaha ke arah pembangunan produk nadir bumi yang diperoleh dan diproses secara tempatan di Malaysia.
“Tanah liat ionik di Malaysia mempunyai potensi besar sebagai bahan mentah masa depan untuk Lynas Malaysia. Ini terutamanya kerana kandungan tinggi nadir bumi berat yang amat diperlukan untuk teknologi masa depan seperti kenderaan elektrik dan elektronik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze.
