Dua warga asing dilaporkan maut dalam dua kejadian berasingan di KLIA Terminal 2 pada hari Jumaat, 1 Mei. Kejadian pertama membabitkan seorang wanita warga China yang dikesan dalam keadaan teramat hiba dan menjerit secara agresif di kawasan Zon Hijau, Aras 3 kira-kira jam 2.20 petang.
Walaupun kakitangan keselamatan cuba menenangkan mangsa, beliau dilaporkan bergelut sebelum terjun ke kawasan ruang pemuatan (loading bay). Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia pada jam 5.09 petang hari yang sama.
Siasatan awal mendapati wanita tersebut sepatutnya dijadualkan pulang ke China pada keesokan harinya, 2 Mei. Punca sebenar gangguan emosi mangsa sebelum kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa bagi mengenalpasti motif di sebalik tindakan nekad tersebut.

Insiden kedua pula berlaku pada jam 9.10 malam melibatkan seorang lelaki warga Algeria berusia 30 tahun. Menurut saksi di tempat kejadian, mangsa dilihat membuka beg galasnya sebelum secara tiba-tiba melari ke arah penghadang di Aras 3 dan melompat keluar.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan lanjut oleh pasukan perubatan lapangan terbang. Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan mangsa telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.55 pagi, 2 Mei.
Pihak polis menegaskan bahawa kedua-dua kes ini sedang disiasat secara terperinci sebagai kes mati mengejut. ACP M. Ravi turut menyeru masyarakat agar menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak menularkan maklumat yang tidak sahih berkaitan insiden tragis ini.
