Pertempuran maut antara Israel dan Iran yang berlarutan selama empat hari menimbulkan kebimbangan bahawa konflik ini bakal merebak ke rantau pengeluar minyak dan gas utama dunia. Pasaran saham yang pada awalnya terganggu akibat serangan mengejut Israel pada hari Jumaat telah kembali stabil.
Selepas membunuh beberapa komander tentera dan saintis nuklear kanan Iran serta merosakkan tapak-tapak nuklear pada hari sebelumnya, Israel melancarkan serangan ke atas sektor bahan api fosil Iran pada hari Sabtu. Media kerajaan Iran melaporkan kebakaran di loji gas South Pars. Menurut pihak berkuasa Iran, lebih 220 orang terbunuh dalam serangan Israel, termasuk sekurang-kurangnya 70 wanita dan kanak-kanak.
Iran membalas dengan pelancaran peluru berpandu balistik dan serangan dron, yang sebahagiannya berjaya menembusi sistem pertahanan Israel dan menyebabkan sekurang-kurangnya 24 kematian.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam platform Truth Social memberi amaran bahawa serangan seterusnya “yang telah dirancang” akan menjadi “lebih kejam”, sambil menggesa Iran membuat perjanjian mengenai program nuklearnya sebelum semuanya musnah.
Ketika konflik antara dua kuasa besar tentera Timur Tengah ini kian mendekati peperangan skala penuh, pasaran kewangan dan sektor penerbangan terjejas. Penganalisis memerhati pergerakan harga minyak, sementara para pelabur beralih kepada aset selamat seperti emas.

Apakah kesan terhadap harga minyak?
Minyak mentah Brent meningkat kepada USD74.60 setong pada awal Isnin, iaitu kenaikan hampir 7% berbanding Khamis sebelum serangan bermula.
Kebanyakan bekalan minyak dan gas dunia melalui laluan laut di Timur Tengah termasuk Selat Hormuz, laluan sempit antara Iran dan negara Teluk yang menjadi saluran bagi sepertiga bekalan minyak dunia yang dihantar melalui laut – sekitar 21 juta tong setiap hari.
Laporan dari agensi berita Iran menyebut bahawa Tehran mempertimbangkan untuk menutup selat tersebut. Goldman Sachs menjangkakan sekatan di Selat Hormuz boleh menyebabkan harga minyak melonjak melebihi USD100 setong. Namun begitu, walaupun semasa Perang Iran-Iraq (1980–1988), selat itu tidak pernah ditutup sepenuhnya.
Penutupan selat juga akan menjejaskan eksport Iran sendiri, khususnya ke China yang merupakan satu sumber pendapatan penting. Menurut penganalisis Hamzeh Al Gaaod, kesan terhadap Iran akan menjadi sangat buruk jika tindakan itu diambil.
Kesan terhadap inflasi global?
Kenaikan harga minyak meningkatkan kos pengeluaran yang akhirnya membebankan pengguna – terutamanya untuk barangan seperti makanan, pakaian dan bahan kimia. Negara pengimport minyak mungkin menghadapi inflasi yang lebih tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Bank-bank pusat seperti dalam G7 akan mempunyai ruang dasar yang lebih sempit untuk menangani inflasi. Bank of England baru-baru ini menurunkan kadar faedah kepada 4.25%, manakala Rizab Persekutuan AS menangguhkan pemotongan kadar ekoran tarif yang dikenakan oleh Trump sejak beliau kembali berkuasa.
Bagaimana reaksi pasaran saham?
Pasaran saham AS seperti S&P 500 dan Nasdaq susut lebih 1% pada hari Jumaat. Indeks utama Mesir jatuh 7.7%, manakala Bursa Saham Tel Aviv susut 1.5%.
Pasaran saham Eropah turut menurun. Di mana DAX (Jerman) dan CAC 40 (Perancis) susut lebih 1%, manakala FTSE 100 (UK) turun 0.5%.
Namun, syarikat pertahanan seperti BAE Systems (UK) dan Lockheed, Northrop Grumman serta RTX (AS) melonjak disebabkan jangkaan konflik akan berpanjangan. Syarikat minyak seperti BP dan Shell turut mencatat kenaikan. Harga emas naik hampir 1% kepada USD3,426 satu auns, hampir kepada rekod tertinggi USD3,500 pada April.
Menjelang Isnin, para pelabur dilihat lebih optimis apabila harga minyak dan emas jatuh sedikit, manakala saham kembali pulih. Al Gaaod berkata, pasaran menjangkakan konflik masih terkawal memandangkan Iran belum menyerang aset ketenteraan AS secara langsung.
