Enam sekeluarga yang dilaporkan hilang sejak hari Sabtu lalu telah ditemui hari ini di dalam sebuah kereta Proton Iswara yang tenggelam di Sungai Korok. Menurut laporan Harian Metro, mayat-mayat mangsa ditemui semasa operasi mencari dan kini sedang dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jitra.
Mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri dan empat orang anak mereka yang berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun. Ahli keluarga yang hadir kelihatan menangis hiba apabila mayat-mayat mangsa dikeluarkan satu demi satu dari kenderaan tersebut.
Laporan sebelum ini menyatakan seorang wanita telah membuat laporan polis selepas abang, kakak ipar, dan anak-anak saudara beliau gagal pulang ke rumah pada hari Sabtu. Wanita itu, Nur Adliah Shuhada Ishak, dalam lingkungan usia dua puluhan, berkata abangnya, Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, datang bermalam di rumahnya di Taman Aman bersama keluarganya.
Menurutnya lagi, abangnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan menetap di Jerlun, sering berkunjung dan biasanya akan pulang awal pagi untuk ke tempat kerja. Namun kali ini, mereka tidak pernah muncul semula.
