Pelaksanaan jadual tarif elektrif baharu akan memberi manfaat kepada 23 juta pengguna

Rio Boestamam
3 Min Read

Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia bakal menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang telah diluluskan kerajaan.

Tarif baharu ini akan berkuat kuasa dari 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 di bawah kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Penyemakan tarif elektrik untuk Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) melibatkan penstrukturan semula tiga komponen utama:

  1. Kadar tarif asas purata
  2. Jadual tarif baharu
  3. Mekanisme pelarasan kos bahan api

Pelarasan Tarif Asas Purata

Kadar tarif asas purata telah diselaraskan berdasarkan kos bekalan elektrik yang diunjurkan bagi tempoh RP4, iaitu ditetapkan pada 45.40 sen/kWh, sedikit lebih rendah berbanding 45.62 sen/kWh yang diluluskan pada Disember 2024.

Pelarasan ini membawa kepada pengurangan sehingga 19% dalam purata kos tarif elektrik keseluruhan berbanding tempoh sebelumnya (RP3).

Perubahan Struktur Tarif Elektrik

Jadual tarif baharu merangkumi:

  • Penyusunan semula kategori pelanggan, sama ada domestik atau bukan domestik, berdasarkan tahap voltan (rendah, sederhana, tinggi); dan
  • Penetapan caj-caj melibatkan tenaga, kapasiti, rangkaian dan komponen runcit, selaras dengan kos masing-masing.

Insentif Kecekapan Tenaga akan diperkenalkan untuk menggalakkan amalan penggunaan elektrik secara bijak. Pengguna domestik dengan penggunaan 1,000 kWh dan ke bawah tidak akan terkesan dengan jadual tarif baharu ini. Pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWh dan ke bawah juga akan mendapat manfaat.

Peluasan Skim “Time of Use” (ToU)

Skim ToU kini diperluas dengan tempoh luar waktu puncak yang lebih panjang — meliputi seluruh hari Sabtu dan Ahad, serta 10 malam hingga 2 petang pada hari bekerja (Isnin hingga Jumaat) — bagi menggalakkan peralihan penggunaan ke luar waktu puncak demi penjimatan bil dan sistem tenaga yang lebih cekap dan mampan.

Perlindungan Sosial dan Kebajikan

Kerajaan turut bersetuju untuk:

  • Menetapkan tarif khas bagi sektor pertanian, perkhidmatan air dan kumbahan, serta pengendali rel;
  • Memberikan diskaun 10% kepada IPT, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat berdaftar;
  • Meneruskan Program Rebat Bil Elektrik RM40 bagi Ketua Isi Rumah kategori miskin tegar berdaftar dengan sistem e-Kasih.

Penambahbaikan Mekanisme Pelarasan Kos

Bagi komponen caj tenaga, mekanisme baharu yang lebih dinamik iaitu Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) akan menggantikan mekanisme semasa ICPT. AFA membolehkan pelarasan kos penjanaan dibuat secara automatik berdasarkan harga pasaran bahan api dan kadar tukaran asing. Maklumat ini akan diterbitkan secara bulanan di laman web Suruhanjaya Tenaga.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *