Kerajaan Jepun pada hari Selasa telah menubuhkan sebuah badan pentadbiran baharu yang berperanan sebagai “pusat kawalan” merentasi agensi-agensi kerajaan bagi menangani isu-isu berkaitan warga asing. Ini termasuk jenayah dan pelancongan berlebihan (overtourism).
Langkah ini diambil susulan kebimbangan rakyat terhadap peningkatan mendadak bilangan warga asing di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Satu isu yang semakin mendapat perhatian menjelang pilihan raya kebangsaan pada Ahad ini.
Selama ini, Jepun mengekalkan dasar imigresen yang ketat demi memelihara komposisi penduduk yang homogen. Namun, peraturan tersebut telah dilonggarkan secara berperingkat bagi mengimbangi kekurangan tenaga kerja akibat populasi yang mengecil dan menua. Pada tahun lalu, bilangan warga asing mencapai paras tertinggi kira-kira 3.8 juta orang bersamaan sekitar 3% daripada jumlah keseluruhan penduduk negara.

Penubuhan badan baharu ini menyusul selepas sekumpulan ahli parlimen dari Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Perdana Menteri Shigeru Ishiba mencadangkan langkah-langkah ke arah mewujudkan “masyarakat yang teratur dan harmoni bersama warga asing.”
Antara cadangan tersebut termasuk memperketatkan syarat bagi warga asing yang ingin menukar lesen memandu kepada lesen Jepun serta membeli hartanah di negara itu.
“Perbuatan jenayah dan tingkah laku tidak berdisiplin oleh segelintir warga asing, selain penyalahgunaan pelbagai sistem pentadbiran, telah menimbulkan rasa tidak selamat dan tertipu dalam kalangan rakyat,” kata Ishiba semasa majlis pelancaran badan tersebut.
Kebimbangan terhadap kemasukan warga asing turut menjadi tumpuan dalam kalangan pengundi. Tinjauan pendapat menunjukkan peningkatan mendadak sokongan terhadap parti populis kecil Sanseito yang membawa agenda “Utamakan Jepun”.
