Seorang pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth (HQE), memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa tiada kesan lebam atau tanda penderaan ditemui pada tubuh Zara Qairina Mahathir ketika beliau menerima remaja itu untuk pemeriksaan pada 16 Julai.
Menurut Dr Janefer Voo, 32, pelajar Tingkatan Satu itu dibawa ke jabatan berkenaan oleh seorang pembantu pegawai perubatan bersama pasukan ambulans dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun punca kecederaan tidak diketahui pada waktu itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan lebam atau penderaan pada tubuh pesakit. Namun, terdapat petunjuk bahawa beliau mengalami kecederaan otak yang serius serta pendarahan dalaman.
“Disebabkan tekanan darah mangsa yang sangat rendah, dipercayai dia mengalami kecederaan dalaman akibat hentakan kuat sehingga menyebabkan pendarahan,” kata saksi ketiga itu ketika membacakan kenyataan pada hari keempat prosiding inkues berhubung kematian remaja tersebut.
Beliau memaklumkan bahawa amaran trauma diaktifkan pada jam 4.42 pagi untuk membolehkan rujukan segera dibuat kepada Jabatan Bedah Saraf, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi, sementara prosedur resusitasi dijalankan ke atas mangsa.

Ketika ditanya oleh pegawai kes, Timbalan Ketua Pendakwa Raya II Datuk Badius Zaman Ahmad mengenai tahap “kebarangkalian hidup” mangsa sewaktu dibawa ke jabatan kecemasan, Dr Voo menjelaskan beliau tidak pasti pada masa itu tetapi berdasarkan penilaian awal, mangsa berada dalam keadaan sangat kritikal.
Beliau turut menerangkan keputusan ujian darah menunjukkan beberapa kelainan, termasuk kiraan sel darah putih yang tinggi serta paras kalium sederhana rendah, yang mungkin berpunca daripada tindak balas fisiologi tubuh terhadap trauma.
“Hasil x-ray mendapati pesakit mengalami patah tertutup pada hujung tulang radius tangan kanan, patah tertutup pada hujung tulang tibia serta pergelangan kaki kanan, patah terbuka pada hujung tulang tibia, pergelangan kaki dan tumit kiri. Selain itu, tulang belakang lumbar kedua, ketiga dan keempat juga patah,” katanya.
Dr Voo menambah, selain dirinya, beberapa kakitangan lain termasuk paramedik, pegawai atasan bernama Dr Rahim serta doktor-doktor lain daripada pasukan trauma turut terlibat dalam rawatan awal.
Menjawab soalan peguam Rizwandean M Borhan yang mewakili keluarga Zara Qairina, saksi itu berkata pasukan perubatan tidak menghubungi polis ketika pesakit dibawa masuk kerana mangsa dalam keadaan kritikal dan keutamaan diberi kepada usaha menyelamatkan nyawa.
“Saya juga tidak melihat sebarang pegawai polis atau ibu mangsa di jabatan kecemasan pada hari kejadian,” katanya.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan akan bersambung selepas rehat tengah hari.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada jam 4 pagi.
Pada 8 Ogos, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan untuk menggali semula jenazah Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan. Pada 13 Ogos, AGC turut mengarahkan satu prosiding inkues selepas meneliti laporan siasatan polis.
