Harga minyak naik 1% selepas empat sesi penurunan berturut-turut

Boboi CTC
2 Min Read

Harga minyak naik 1% pada Jumaat selepas empat sesi penurunan berturut-turut berikutan kebakaran di salah satu kilang penapisan terbesar di Pantai Barat AS, namun masih berada di landasan untuk mencatat kejatuhan mingguan paling besar sejak akhir Jun.

Niaga hadapan Brent meningkat 61 sen, atau 1%, kepada USD64.73 setong pada 0658 GMT. Minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) pula naik 62 sen, atau 1%, kepada USD61.10 setong. Kebakaran berlaku pada Jumaat di kilang penapisan El Segundo milik Chevron, salah satu yang terbesar di Pantai Barat AS, tetapi api berjaya dikawal di satu kawasan sahaja, menurut seorang pegawai daerah.

Dalam laporan pematuhan peraturan, syarikat tenaga itu turut melaporkan emergency flaring di kilang berkapasiti 290,000 tong sehari, yang terutamanya menghasilkan petrol, bahan api jet dan diesel.

Opec+ boleh bersetuju untuk menaikkan pengeluaran minyak sehingga 500,000 tong sehari pada November.

Namun, Brent masih 7.6% lebih rendah manakala WTI jatuh 7% pada asas mingguan, berikutan jangkaan pasaran bahawa kumpulan Opec+ mungkin meningkatkan lagi pengeluaran walaupun terdapat kebimbangan lebihan bekalan.

Penganalisis menjangkakan bekalan Opec+ yang lebih tinggi, pengurangan operasi penapisan global kerana kerja penyelenggaraan, serta permintaan bermusim yang lemah dalam bulan mendatang akan mempercepatkan peningkatan stok minyak di AS dan negara lain.

Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) melaporkan pada Rabu bahawa inventori minyak mentah, petrol dan minyak sulingan AS meningkat minggu lalu apabila aktiviti penapisan dan permintaan berkurangan.

“Kami percaya September menandakan titik perubahan, dengan pasaran minyak kini menuju kepada lebihan bekalan besar pada suku keempat 2025 dan tahun hadapan,” kata penganalisis JPMorgan dalam satu nota.

Menteri kewangan negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) pula pada Rabu menyatakan mereka akan mengambil langkah menambah tekanan terhadap Rusia dengan menyasarkan pihak yang terus meningkatkan pembelian minyak dari negara itu.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *