Harga niaga hadapan (futures) minyak sawit di Kuala Lumpur meningkat sehingga 2.6%, mencapai paras tertinggi dalam hampir tiga minggu. Ini selepas India (pengimport utama dunia) mengumumkan pengurangan duti import ke atas minyak boleh dimakan seperti minyak sawit dan minyak bunga matahari.
Langkah itu bertujuan menurunkan harga runcit di negara tersebut. Pasaran minyak sawit di Malaysia ditutup pada Isnin sempena cuti umum, dan pelarasan kadar duti itu berkuat kuasa mulai 31 Mei.
Menurut David Ng, seorang peniaga kanan di IcebergX Sdn Bhd, faktor-faktor lain yang menyokong kenaikan harga termasuk peningkatan harga minyak mentah. Di mana ia meningkatkan daya tarikan minyak sawit sebagai bahan asas biodiesel yang menjadi pertambahan eksport Malaysia.

Namun pemotongan cukai tersebut dijangka akan menjejas penapis minyak sawit Malaysia di Indonesia.
Keputusan kerajaan India untuk mengurangkan cukai import ke atas minyak boleh dimakan mentah mulai 31 Mei dijangka memberi kesan negatif kepada syarikat perladangan Malaysia yang terlibat dalam operasi penapisan minyak sawit di Indonesia, menurut CIMB Securities.
Dalam nota kajiannya pada Selasa, firma tersebut menyatakan bahawa langkah pemotongan cukai ini secara efektif mengecilkan jurang cukai import antara minyak sawit mentah (CPO) dan minyak sawit bertapis, yang sebelum ini lebih menguntungkan import CPO.
“Dari sudut negatif, jurang cukai yang lebih kecil ini menjadi cabaran bagi penapis minyak sawit di Malaysia dan Indonesia kerana ia mengurangkan daya saing mereka berbanding penapis di India. Ia juga boleh meningkatkan persaingan dalam mendapatkan bahan mentah (CPO),” kata firma penyelidikan itu.
Tambahan pula, petani biji minyak di India turut dijangka terkesan akibat peningkatan import, yang boleh menekan harga minyak makan dan biji minyak tempatan.
Perubahan dasar ini mungkin mengalihkan permintaan India kepada minyak sawit bertapis, sekaligus mengurangkan import CPO dan menjejaskan industri penapisan di Indonesia.
Menurut CIMB Securities, antara syarikat perladangan Malaysia yang mempunyai pendedahan kepada operasi penapisan di Indonesia ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dan SD Guthrie Bhd (SDG).
Walaupun langkah ini boleh memberi manfaat kepada pengguna India melalui harga minyak makan yang lebih rendah, ia mewujudkan persekitaran yang kurang menguntungkan bagi penapis di Indonesia, yang kini menyumbang sebanyak 86% kepada bekalan refined, bleached and deodorised (RBD) palm olein India.
Struktur duti sebelum ini, yang mengenakan cukai lebih tinggi ke atas minyak sawit bertapis, telah menggalakkan penapisan domestik dengan import CPO. Namun, dasar baharu ini menyamakan kadar cukai antara minyak mentah dan bertapis, membolehkan pembeli India mengimport minyak sawit bertapis pada harga lebih kompetitif.
Situasi ini berpotensi menambah import minyak sawit bertapis oleh India, sekaligus memberi tekanan kepada keuntungan dan kapasiti operasi penapis Indonesia yang telah membuat pelaburan besar dalam infrastruktur penapisan.