Pembuat kereta China, BYD, akan melaksanakan panggilan balik (recall) terbesar setakat ini melibatkan lebih 115,000 kenderaan siri Tang dan Yuan Pro yang dikeluarkan antara tahun 2015 hingga 2022 berikutan kecacatan reka bentuk serta risiko keselamatan berkaitan bateri, menurut pengawal selia pasaran China hari ini.
BYD telah mengemukakan pelan kepada Pentadbiran Negeri bagi Peraturan Pasaran (State Administration for Market Regulation) untuk menarik balik 44,535 unit kenderaan siri Tang yang dihasilkan antara Mac 2015 hingga Julai 2017, di mana beberapa kecacatan reka bentuk komponen boleh menyebabkan kerosakan fungsi.

Syarikat itu juga akan menarik balik 71,248 unit kenderaan elektrik Yuan Pro yang dikeluarkan antara Februari 2021 hingga Ogos 2022 disebabkan masalah pembuatan yang menjejaskan pemasangan bateri.
Sebelum itu, pada September 2024, syarikat automotif tersebut turut menarik balik hampir 97,000 unit kenderaan elektrik model Dolphin dan Yuan Plus akibat kecacatan pembuatan pada unit kawalan stereng yang berpotensi menyebabkan kebakaran.
