Pembekal kepada Proton tuntut bayaran tertunggak lebih RM2 juta

Rio Boestamam
3 Min Read

Anak syarikat Proton Holdings Bhd, iaitu Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), kini berdepan pertikaian undang-undang dengan pembekal lama, UCM Automotive Systems Sdn Bhd, yang menuntut lebih RM2 juta bayaran tertunggak.

Sebagai tindak balas, Proton cuba menghalang UCM Automotive daripada memfailkan petisyen penggulungan terhadap syarikat itu untuk mendapatkan semula wang berkenaan.

Pertikaian ini berlaku ketika hubungan antara Proton dan para pembekalnya semakin tegang. Pada November 2023, Persatuan Vendor Proton yang terdiri daripada 77 syarikat, telah menghantar surat kepada pengeluar kereta nasional itu untuk membantah kenaikan kos dan keengganan Proton membayar lebih bagi alat ganti. Para vendor turut mendakwa Proton membuat pesanan alat ganti dalam jumlah yang lebih rendah daripada yang dijanjikan.

Pada Julai 2024, UCM Automotive, yang membekalkan alat penghawa dingin dan penyejuk transmisi kepada Proton, telah mengemukakan tuntutan statutori untuk menuntut RM4.31 juta bagi invois tertunggak, faedah dan caj lain, menurut dokumen penghakiman yang dilihat oleh The Edge.

Tuntutan statutori ini biasanya merupakan langkah undang-undang pertama sebelum pemiutang boleh memohon supaya syarikat digulung sekiranya hutang tidak dilangsaikan.

Kilang pemasangan enjin baharu Proton di Tanjung Malim yang mampu hasilkan 180,000 unit dalam tiga syif

Proton mempertikaikan jumlah tersebut dan memohon injunksi Fortuna untuk menghalang UCM Automotive daripada memfailkan petisyen penggulungan sementara mahkamah memutuskan jumlah sebenar yang perlu dibayar.

Pertikaian ini melibatkan isu alat ganti yang didakwa rosak, dokumen sokongan yang tidak lengkap, serta persoalan tentang siapa yang sepatutnya menanggung kos pertukaran mata wang asing dan kos penyimpanan inventori.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, Proton telah membuat bayaran sebahagian, manakala UCM mengiktiraf beberapa pampasan, menyebabkan baki tertunggak tinggal sekitar RM550,000 daripada jumlah asal. UCM kemudian menambah RM1.47 juta lagi kepada tuntutannya.

Pada Februari 2025, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Proton untuk menyekat tindakan penggulungan oleh UCM Automotive, dengan memutuskan bahawa Proton tidak berjaya membuktikan secara kukuh bahawa jumlah hutang tersebut dipertikaikan secara sah.

Mahkamah mengesahkan bahawa Proton masih berhutang sebanyak RM2.02 juta kepada UCM Automotive, termasuk RM1.47 juta yang diluluskan mahkamah, dan membenarkan UCM mengenakan faedah lewat bayar sebanyak 10% setahun.

Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Hayati Haji Mat, turut menolak dakwaan Proton bahawa tindakan itu akan menyebabkan “kerosakan yang tidak dapat diperbaiki” ke atas syarikat tersebut, dengan menyatakan bahawa kedudukan kewangan Proton tidak relevan dalam mempertimbangkan petisyen penggulungan.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *