Pengeluar kereta sport Jerman, Porsche, mencatatkan kerugian hampir satu bilion euro (RM4.9 bilion) bagi suku ketiga tahun ini, menurut kenyataan syarikat pada Jumaat, susulan peningkatan kos akibat peralihan semula kepada kenderaan berenjin petrol dan penangguhan pelancaran model kenderaan elektrik (EV).
Keuntungan operasi (tidak termasuk kos seperti cukai) jatuh kepada hanya 40 juta euro bagi sembilan bulan pertama tahun ini. Porsche sebelum ini melaporkan keuntungan operasi sebanyak satu bilion euro pada Julai, menunjukkan bahawa syarikat itu mengalami kerugian sekitar 960 juta euro dalam tempoh selepas itu.
Ketua kewangan Porsche, Jochen Breckner, berkata keputusan kewangan tersebut mencerminkan kos besar yang timbul daripada usaha syarikat menyusun semula portfolio produknya untuk beralih kembali kepada kenderaan petrol berikutan permintaan EV yang semakin lemah.

Pada September, Porsche mengumumkan penangguhan pelancaran beberapa model kereta elektrik sepenuhnya dan melanjutkan tempoh pengeluaran bagi model enjin pembakaran dalaman serta hibrid. Syarikat induknya, Kumpulan Volkswagen, turut menanggung kerugian sebanyak 5.1 bilion euro dalam keuntungan tahunan akibat kos penyusunan semula produk Porsche serta pelarasan semula sasaran keuntungannya.
Porsche kini berdepan tekanan hebat daripada pesaing di pasaran utama seperti China dan turut terdedah kepada kesan tarif yang dikenakan oleh Presiden AS Donald Trump, memandangkan syarikat itu tidak mempunyai kilang pengeluaran di Amerika Syarikat.
Breckner memberitahu penganalisis dan pelabur dalam satu panggilan bahawa “kos berkaitan tarif” setakat ini telah mencecah lebih 500 juta euro.
