Peraturan iklan dalam Bahasa Melayu di platform E-dagang ditangguh

Rio Boestamam
3 Min Read

Peraturan baharu yang mewajibkan senarai produk dalam Bahasa Melayu di platform e-dagang utama seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop telah ditangguhkan sementara susulan bantahan hebat daripada orang ramai.

Peraturan ini sepatutnya berkuat kuasa pada 24 Jun di bawah Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 (CPETTR 2024), namun telah mencetuskan kegusaran dalam kalangan peniaga atas talian sejak ia dilaporkan oleh Nanyang Siang Pau pada 20 Jun.

Sebagai respons kepada isu ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengendali platform e-dagang utama bagi mendapatkan maklum balas lanjut.

Kementerian mengakui reaksi awam yang kuat dan menjelaskan bahawa penguatkuasaan keperluan penggunaan Bahasa Melayu dalam senarai produk akan ditangguhkan untuk kajian semula.

CPETTR 2024 diperkenalkan bagi mengukuhkan perlindungan pengguna dalam perdagangan digital. Ia mewajibkan penjual dalam talian memberikan maklumat syarikat yang tepat, termasuk nama, maklumat hubungan dan alamat perniagaan.

Antara platform e-dagang yang paling banyak diguna pakai di Malaysia.

Peraturan yang paling dipertikaikan ialah kewajipan untuk menyenaraikan tajuk dan keterangan produk dalam Bahasa Melayu, walaupun nama jenama dibenarkan kekal dalam bahasa asal. Terjemahan dalam bahasa lain turut dibenarkan sebagai tambahan.

Selain itu, penjual bagi produk tertentu juga perlu mengemukakan sijil pengesahan bagi membuktikan pematuhan kepada piawaian keselamatan.

Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh mengakibatkan denda yang tinggi. Di mana individu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama, manakala syarikat boleh didenda hingga RM100,000. Pesalah berulang pula berisiko menghadapi hukuman berganda.

Pengumuman awal mengenai penguatkuasaan telah mencetuskan panik dalam kalangan peniaga, dengan ramai yang tergesa-gesa menterjemah senarai produk mereka, menyebabkan komuniti dalam talian dibanjiri rungutan dan kebimbangan.

Walaupun peraturan masih kekal, kementerian telah mengesahkan bahawa penguatkuasaan (khususnya berkaitan penggunaan Bahasa Melayu dalam penyenaraian produk) kini digantung buat sementara waktu.

Menurut surat yang ditandatangani oleh Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, garis masa pelaksanaan akan dikaji semula berdasarkan maklum balas daripada pengendali platform.

Setakat ini, tiada tarikh baharu diumumkan bagi penguatkuasaan, namun ramai penjual mendesak kerajaan agar menyediakan garis panduan yang lebih jelas, sokongan teknikal, dan mengelakkan pendekatan dasar “satu penyelesaian untuk semua”.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *