Projek ECRL rugi RM2.9 juta akibat kes kecurian kabel tahun ini

Aina Julia
2 Min Read

Sebanyak 38 kes kecurian kabel dan komponen lain dalam projek East Coast Rail Link (ECRL) telah direkodkan di Terengganu dan Pahang dari Januari hingga September tahun ini, melibatkan kerugian sebanyak RM2.9 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata bagi menangani isu tersebut, syarikat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan beberapa langkah keselamatan, termasuk pemasangan 116 kamera litar tertutup (CCTV) dan mengupah 67 pengawal keselamatan.

Beliau menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan memantau kawasan yang sering menjadi sasaran kecurian.

“Setakat ini, kejadian berlaku di Terengganu dan Pahang, bukan di satu lokasi sahaja. Kami menerima kerjasama yang baik daripada semua negeri terlibat untuk meningkatkan usaha pemantauan dan penglibatan,” katanya.

Projek ECRL dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember 2026.

Beliau menambah, usaha tersebut akan diteruskan secara berterusan dan menggesa semua pihak mengambil perkara ini dengan serius kerana ia boleh menjejaskan pembukaan operasi ECRL sekiranya masalah ini berlanjutan.

Darwis berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Cabutan Kerja Subkontraktor Bumiputera Pakej G1 dan G2 ECRL Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kemajuan projek ECRL di Terengganu telah mencapai 93.55 peratus, manakala kemajuan keseluruhan projek kini berada pada tahap 88.08 peratus.

“Ini menunjukkan kita berada di landasan yang betul untuk menyiapkan keseluruhan projek menjelang Disember 2026 dan memulakan operasi pada Januari 2027,” katanya.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *