Pek ‘Trading Card’ bakal dikawal selia di Singapura tidak lama lagi, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (27 Feb). Ia adalah sebagai sebahagian daripada langkah negara itu menangani risiko berkaitan perjudian hasil penjualan kotak misteri atau blind box.
Blind box merujuk kepada bungkusan tertutup yang kandungannya (lazimnya permainan koleksi, figura atau kad) tidak didedahkan kepada pembeli ketika pembelian dibuat.
MHA memaklumkan bahawa pihaknya bersama Pihak Berkuasa Kawal Selia Perjudian (GRA) bercadang memperkenalkan peraturan bagi mengawal penjualan blind box, termasuk pek kad dagangan, bagi mengurangkan risiko unsur galakan kepada perjudian.

Menurut kementerian itu, peraturan berkenaan kini sedang dirangka dan butiran lanjut termasuk garis masa pelaksanaannya akan diumumkan kemudian. Di bawah Akta Kawalan Perjudian, beberapa bentuk perkhidmatan perjudian berisiko rendah seperti cabutan bertuah dibenarkan melalui sistem lesen kelas tanpa perlu memohon lesen individu daripada GRA.
Bagaimanapun, badan perkhidmatan sosial memberi amaran bahawa normalisasi pembelian blind box serta permainan berasaskan nasib boleh menimbulkan kebimbangan serius khususnya terhadap kanak-kanak dan golongan muda, kerana unsur ketidakpastian yang menyeronokkan berpotensi mendorong tingkah laku ketagihan selain mencetuskan masalah kebimbangan dan kemurungan.
