Dengan kutipan kasar sebanyak RM55.1 juta, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini secara rasmi telah dinobatkan sebagai filem animasi dengan kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia, mengatasi semua karya animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan di negara ini.
Lebih mengagumkan, EATM2 juga telah mengatasi kutipan beberapa filem pecah panggung dari Hollywood dan Asia dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.
Pencapaian ini jelas membuktikan keyakinan dan sokongan luar biasa penonton tempatan terhadap filem animasi yang berteraskan identiti dan semangat Malaysia.
“Kejayaan ini bukan milik WAU Animation semata-mata, tetapi milik semua ejen yang telah percaya dan berdiri bersama kami sejak awal lagi. Saya amat menghargai dedikasi seluruh pasukan WAU Animation yang telah mencurahkan tenaga dan kreativiti mereka dalam menjayakan filem ini.

“Terima kasih juga kepada rakan penerbitan kami, Primeworks Studios, yang sentiasa komited mempromosikan filem ini dengan idea-idea segar dan berani, sekaligus memastikan EATM2 terus menjadi pilihan penonton.
“Dan pastinya, penghargaan tertinggi kepada para peminat yang telah menjadi tulang belakang dan sumber inspirasi utama kami sejak hari pertama,” kata Usamah Zaid Yasin, pengarah filem EATM2.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Network dan Primeworks Studios, Nini Yusof turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam projek ini, dan menyatakan bahawa setiap individu layak diberikan pujian atas usaha mereka.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama, kepercayaan dan semangat yang dikongsi bersama. Kami berharap penonton akan terus menyokong EATM2 dan membantu kami mencapai sasaran kutipan seterusnya sebanyak RM60 juta.
“Dengan sokongan anda, kami boleh merealisasikan impian menghasilkan skrip Ejen Ali yang seterusnya, demi pembangunan industri kreatif tempatan yang boleh dibanggakan di peringkat antarabangsa,” ujar Nini.
Daripada siri animasi televisyen ke layar perak, Ejen Ali telah berkembang menjadi sebuah francais yang matang dan berpengaruh. Filem kedua ini bukan sahaja mengukuhkan jenama tersebut, malah mencerminkan evolusi penceritaan animasi tempatan yang lebih berani, berlapis dan menyentuh hati pelbagai lapisan penonton.
Untuk rekod, filem ini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara.