Perubahan jadual penerbangan kesan penutupan ruang udara di timur tengah

Boboi CTC
3 Min Read

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan bahawa penutupan ruang udara di beberapa kawasan Timur Tengah berpotensi menjejaskan sebahagian perkhidmatan penerbangan antarabangsa. Dalam satu kenyataan pada Ahad (1 Mac), CAAM berkata syarikat penerbangan yang beroperasi ke dan dari rantau terjejas mungkin berdepan kelewatan, perubahan jadual, lencongan laluan penerbangan atau pembatalan susulan sekatan ruang udara yang sentiasa berubah serta pertimbangan operasi.

Menurut kenyataan itu, langkah sedemikian diambil demi kepentingan keselamatan dan bagi mematuhi keperluan penerbangan antarabangsa. CAAM turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau situasi dengan teliti serta berhubung rapat dengan syarikat penerbangan berkaitan bagi memastikan kepentingan penumpang terus dilindungi.

Dalam nasihat yang dikeluarkan kepada syarikat penerbangan, CAAM mengingatkan semua pengendali penerbangan ke dan dari Malaysia supaya segera memaklumkan penumpang mengenai sebarang perubahan waktu pelepasan atau ketibaan, termasuk kelewatan, penjadualan semula, perubahan laluan atau pembatalan penerbangan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Syarikat penerbangan juga digesa menyediakan penjagaan, bantuan sewajarnya serta pilihan perjalanan alternatif kepada penumpang terjejas selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC). Selain itu, syarikat penerbangan diminta mengekalkan komunikasi yang jelas, tepat pada masanya dan telus sepanjang tempoh gangguan, serta mengambil semua langkah munasabah bagi meminimumkan kesulitan kepada penumpang dan memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan peraturan.

CAAM turut menasihatkan penumpang yang melakukan perjalanan ke, dari atau transit melalui kawasan terjejas supaya sentiasa menyemak status penerbangan secara langsung dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang.

Penumpang juga digalakkan memastikan maklumat hubungan dalam rekod tempahan adalah tepat dan terkini bagi menerima sebarang notifikasi. Sekiranya berlaku gangguan perjalanan, penumpang boleh menghubungi syarikat penerbangan untuk urusan penjadualan semula, tuntutan bayaran balik atau bantuan lanjut.

Bagi penumpang yang merasakan hak mereka di bawah MACPC tidak dipatuhi, mereka disaran terlebih dahulu mendapatkan penyelesaian dengan syarikat penerbangan terlibat. Jika isu masih tidak diselesaikan, aduan boleh dikemukakan melalui saluran rasmi pengguna CAAM untuk tindakan lanjut. CAAM menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan operasi penerbangan kekal selamat serta hak pengguna sentiasa terpelihara.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *