amazon-1

Amazon Buang 9,000 Pekerja Lagi Dalam Pusingan Pemberhentian Baharu

Amazon akan mengurangkan 9,000 pekerjaan lagi di seluruh dunia, pusingan baharu pemecatan besar-besaran kakitangan peruncit dalam talian itu pada tahun ini.

Menurut laporan yang dikeluarkan, pemotongan kali ini kebanyakkan akan melibatkan pekerja dalam perkhidmatan awan, pengiklanan dan unit penstriman langsung Twitch.

Kenyataan itu dikeluarkan lebih dua bulan selepas Amazon mengumumkan rancangan pengurangan kakitangan terbesar, menjejaskan lebih daripada 18,000 pekerja.

Pada bulan yang sama, Amazon turut mendedahkan rancangan berasingan untuk menutup tiga gudang di UK dan tujuh stesen penghantaran, menjejaskan lebih 1,200 pekerjaan.

CEO Amazon, Andy Jassy, berkata dalam surat kepada pekerja bahawa syarikat telah menambah sejumlah besar kakitangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan penggajian lebih daripada 1.5 juta orang seluruh dunia.

Namun begitu, ekonomi yang tidak menentu telah memaksa gergasi peruncit dalam talian itu memilih pemotongan kos dan jumlah pekerja.

Amazon telah secara sistematik mengurangkan perbelanjaan di seluruh perniagaannya, menghentikan pembinaan ibu pejabat dan memperlahankan pengembangan global rangkaian pusat pengedaran, gudang dan kemudahan lain sejak 2022.

Pusingan kedua pemberhentian ini dilihat mengikuti langkah Meta, syarikat induk bagi Facebook, WhatsApp dan Instagram.

Minggu lalu Meta telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkan lagi 10,000 pekerjaan tahun ini dan juga memulakan pembekuan pengambilan pekerja, setelah mengumumkan 11,000 pemberhentian pekerjaan pada November tahun lepas.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *