Bank Pusat Borong Emas, AS$4,000 Bukan Lagi Mitos

Lee Trader
3 Min Read

Harga emas terus mencatat sejarah. Pada Mac lalu, buat pertama kalinya harga emas melepasi paras AS$3,000 per auns. Kini, ia berada sekitar AS$3,300 dan masih menunjukkan kecenderungan menaik. Pakar-pakar ekonomi menyifatkan keadaan ini sebagai hasil gabungan ketidaktentuan ekonomi, konflik geopolitik, dan prestasi pasaran saham yang tidak menentu.

Menurut Brett Elliott dari APMEX, lonjakan harga emas turut disokong oleh beberapa faktor penting termasuk kejatuhan bank, pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve, dan pengumuman tarif baru yang menggugat kestabilan perdagangan global.

Firma kewangan terkemuka seperti Goldman Sachs telah menaikkan unjuran harga emas kepada $3,300 menjelang hujung 2025. Malah UBS menjangkakan harga boleh mencecah $3,200 se-auns tahun ini. Peningkatan ini dilihat dipacu oleh pembelian agresif dari bank-bank pusat, terutamanya China serta aliran masuk dana pelaburan ke dalam ETF emas yang meningkat ketika kadar faedah rendah.

Menurut Goldman Sachs, jika kebimbangan terhadap hutang dan dasar fiskal Amerika Syarikat terus meningkat, harga emas mampu melonjak 5% lagi kepada sekitar $3,450 per auns satu langkah besar menembusi halangan untuk menunju paras $4,000 yang semakin dibincangkan ramai.

Ben Nadelstein dari Monetary Metals menyatakan bahawa pelabur kini lebih cenderung kepada aset yang tidak bergantung pada kestabilan politik, seperti emas. “Pelabur sedang bertindak balas terhadap isyarat bercanggah dari Rumah Putih tentang tarif, hutang dan perdagangan global,” katanya. Dalam keadaan begini, emas kekal sebagai pelaburan ‘safe haven’ paling dipercayai.

Tambahan pula, tarikan terhadap emas semakin kuat apabila pelabur mula menjauhi dolar dan bon AS akibat risiko pulangan yang rendah. Ini sejajar dengan ramalan yang menunjukkan permintaan terhadap aset bukan bersifat kerajaan akan terus meningkat.

Walaupun harga emas kini berada di paras tertinggi dalam sejarah, penganalisis berpendapat paras $4,000 bukan mustahil, namun memerlukan pemangkin yang besar seperti penurunan kadar faedah ke paras sifar atau kemelesetan ekonomi. Menurut Nadelstein, penurunan mendadak dalam pasaran saham atau lonjakan inflasi boleh menyebabkan pelabur menyerbu pasaran emas dalam jumlah besar.

Namun Elliott mengingatkan bahawa untuk mencapai $4,000, harga perlu melonjak sekurang-kurangnya 17% lagi daripada paras semasa, sesuatu yang bukan mudah dicapai tanpa sebarang gangguan besar dalam pasaran global.

Walaupun terdapat kemungkinan harga emas mengalami sedikit penurunan dalam jangka pendek, ramai penganalisis bersetuju bahawa kini merupakan masa yang sesuai untuk mempertimbangkan pelaburan dalam emas — sebagai langkah perlindungan daripada inflasi dan ketidaktentuan ekonomi.

- Advertisement -
Ad image
TAGGED:
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *