Bill Hwang, pengasas Archegos Capital Management, kini berhadapan dengan hukuman penjara selepas disabitkan bersalah atas skandal manipulasi pasaran yang menyebabkan syarikatnya runtuh dan memberi kerugian besar kepada bank-bank global.
Hwang menggunakan produk kewangan kompleks seperti “total return swaps” untuk membuat pertaruhan besar pada saham-saham media dan teknologi, seperti ViacomCBS, tanpa mendedahkan risiko sebenar kepada bank-bank yang memberinya pinjaman.
Dengan kontrak “Total return swaps” ini Hwang telah menggunakan teknik leverage untuk meningkatkan pendedahan Archegos kepada saham-saham tertentu.
Dengan cara ini, beliau dapat mengawal pendedahan bernilai AS$160 bilion, walaupun dana yang dimiliki oleh Archegos jauh lebih kecil. Namun, bank-bank yang memberikan pinjaman kepada Archegos tidak mengetahui risiko sebenar yang terlibat.
Pada tahun 2021, pendedahan saham yang dipertaruhkan oleh Archegos itu gagal apabila harga saham tersebut mulai jatuh. Hwang tidak dapat memenuhi tuntutan margin (permintaan untuk tambah dana) yang dibuat oleh bank-bank pemberi pinjaman.
Archegos terpaksa menjual saham-saham tersebut untuk menutup kedudukan mereka, sekali gus menyebabkan kerugian besar.
Kejatuhan Archegos memberi kesan serius kepada bank-bank besar seperti Credit Suisse (yang kini sebahagian daripada UBS) dan Nomura Holdings.
Bank-bank ini menanggung kerugian yang besar apabila mereka terpaksa menjual saham-saham yang menyokong pertaruhan Hwang. Kerugian ini dianggarkan lebih daripada AS$10 bilion.
Selepas skandal tersebut terbongkar, Hwang didakwa atas beberapa tuduhan jenayah, termasuk penipuan sekuriti. Pada Julai 2023, beliau disabitkan bersalah atas 10 tuduhan jenayah kerana menipu bank mengenai portfolio Archegos.
Walaupun peguam Hwang berusaha untuk mengelakkan hukuman penjara dengan alasan usia, masalah kesihatan, dan sumbangan kebajikannya, mahkamah tetap menjatuhkan sabitan.
Hwang dijadualkan untuk dijatuhi hukuman pada 20 November 2024, dengan kemungkinan hukuman penjara selama 21 tahun.
Skandal Archegos ini mengajar kita tentang pentingnya ketelusan dan kawalan risiko dalam dunia kewangan. Tindakan manipulasi seperti yang dilakukan oleh Bill Hwang bukan sahaja merugikan pihak bank, tetapi juga memberi kesan buruk kepada pasaran kewangan global.
Add a Comment