MCMC ambil tindakan sivil terhadap saluran Telegram “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”

Boboi CTC
2 Min Read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, iaitu “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”.

Kedua-dua saluran tersebut dikenal pasti menyebarkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap institusi awam dan mengganggu ketenteraman awam.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, MCMC memaklumkan bahawa tindakan ini adalah yang pertama seumpamanya terhadap penyedia platform media sosial, khususnya kerana Telegram merupakan pemegang lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)].

Saluran Telegram Edisi Siasat kini mempunyai lebih 1 juta pengikut.

“Tindakan ini diambil susulan kegagalan serius pihak Telegram untuk menangani kandungan berkenaan walaupun telah berulang kali dilaporkan serta pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh MCMC,” kata kenyataan itu.

Disebabkan tahap pematuhan yang tidak memuaskan, MCMC telah memohon dan berjaya memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir untuk menghentikan penyebaran kandungan berbahaya dan menghalang penerbitan semula kandungan tersebut.

Langkah ini diambil bagi memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara dan kepentingan awam terus dilindungi.

Menurut MCMC, pihak Telegram akan diberikan ruang yang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan mereka selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.

MCMC turut mengingatkan bahawa semua penyedia platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *