ringgit-myr

BNM Akan Campur Tangan Dalam Forex Jika Pergerakan Mata Wang Keterlaluan

Bank Negara Malaysia (BNM), mengikut mandat berkanunnya, akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing (forex) untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap keterlaluan, kata Penolong Gabenor Adnan Zaylani.

Beliau berkata walaupun nilai ringgit akan terus kekal ditentukan oleh pasaran, bank pusat menjangkakan kerajaan akan terus mengambil inisiatif berterusan untuk mengukuhkan lagi ekonomi dan memastikan ringgit lebih mencerminkan asas negara.

“Ringgit terus terjejas oleh perkembangan global, bagaimanapun, jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam lingkungan 4-5 peratus, pembaharuan struktur dan usaha penyatuan fiskal oleh kerajaan adalah faktor sokongan kepada ringgit,” kata Adnan, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC).

Dalam mesyuarat jawatankuasa hari ini, beliau berkata anggota FMC turut membincangkan pemerhatian bahawa korporat dan pengeksport telah mengekalkan lebih banyak hasil dalam mata wang asing.

Hal ini ditunjukkan menerusi peningkatan baki akaun mata wang asing yang berpotensi membawa kepada ketidakseimbangan dalam aliran pasaran, jelasnya.

Dalam menguruskan risiko forex mereka, korporat dan pengeksport harus digalakkan untuk mengambil kesempatan daripada tahap kadar pertukaran yang menarik untuk mengoptimumkan baki mata wang asing mereka, tambah Adnan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM) Chu Kok Wei berkata pasaran kewangan di Malaysia terus beroperasi dalam keadaan teratur dan kekal kondusif untuk melaksanakan keperluan pelanggan.

“Kami mengalu-alukan panduan BNM mengenai ringgit dan perkembangan pasaran terkini. Kami akan terus menyokong usahanya dalam pasaran domestik,” katanya.

Sebagai tambahan kepada asas ekonomi Malaysia yang kukuh, FMC berpendapat bahawa kejelasan lanjut mengenai kadar faedah Federal Reserve dan kemungkinan tanda-tanda positif daripada langkah-langkah rangsangan keluar dari China mungkin akan memberikan sokongan kepada ringgit dan mata wang Asia secara amnya.

Ramalan baru-baru ini oleh penganalisis dan pakar ekonomi terus menunjukkan pemulihan berasaskan luas berbanding dolar AS menjelang akhir tahun, pada purata 4.56 berbanding dolar pada suku ketiga dan 4.50 pada suku keempat.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *