myairline-malaysia

CEO MYAirline Rancang Untuk Senaraikan Syarikat Di Bursa Malaysia Menjelang 2026

Syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu Malaysia, MYAirline Sdn Bhd menyasarkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Bhd dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata ketua pegawai eksekutif (CEO) Rayner Teo.

“Sebagai mana-mana syarikat yang mempunyai pemegang saham, terdapat rancangan untuk menyenaraikan syarikat itu dan kami akan cuba menyenaraikan di Bursa Malaysia sebaik sahaja kami mempunyai keupayaan dalam tempoh tiga tahun,” jelasnya.

Dalam meneruskan perjalanan ini, Teo berkata banyak faktor dan kerja diperlukan untuk memastikan syarikat penerbangan itu berada pada kedudukan yang baik untuk disenaraikan pada tempoh tersebut.

Beliau juga berkata syarikat penerbangan itu telah menandatangani perjanjian untuk sewaan 17 pesawat Airbus A320-200 dan menyasarkan untuk menyewa sejumlah 20 pesawat berbadan sempit menjelang akhir 2023.

“Secara teknikal, kami beroperasi dengan lima pesawat hari ini dan satu tambahan, yang telah mengalami kelewatan dalam penghantaran baru-baru ini. Kami berusaha keras supaya operasi kembali normal,” katanya.

Baru-baru ini, MYAirline mengumumkan bahawa ia mengalami masalah teknikal yang menyebabkan kelewatan dan pembatalan penerbangan akibat daripada kelewatan penghantaran tersebut.

“Kami pada asasnya menjalankan operasi pesawat berbadan sempit berdasarkan syarikat penerbangan tambang rendah sambil memberi tumpuan kepada jarak yang pendek,” ujarnya.

“Jadi, kami mengekalkan julat empat jam untuk pesawat itu dan kami juga menggunakan jenis pesawat dalam siri keluarga yang sama,” kata Teo sambil menambah syarikat penerbangan itu akan mempertimbangkan model dalam keluarga A320 seperti pesawat yang lebih panjang dan jimat bahan api pada masa hadapan.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *