China telah menarik balik larangan import makanan laut dari kebanyakan wilayah di Jepun. Ini sekali gus menandakan pemulihan sebahagian daripada pertikaian berlarutan berkaitan pelepasan air sisa nuklear oleh Tokyo.
Jepun mula melepaskan air sisa terawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik secara berperingkat sejak 2023. Langkah itu disokong oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), namun mendapat tentangan keras daripada Beijing yang kemudian mengenakan larangan ke atas import makanan laut Jepun.
Dalam kenyataan pada Ahad, Pentadbiran Am Kastam China memaklumkan bahawa sampel daripada pemantauan jangka panjang terhadap air tercemar nuklear dari Fukushima “tidak menunjukkan sebarang situasi abnormal”.

Sehubungan itu, China memutuskan untuk “menyambung semula secara bersyarat” import makanan laut dari Jepun, kecuali dari 10 daripada 47 wilayah negara itu, termasuk Fukushima dan Tokyo, yang kekal dilarang.
Insiden di Fukushima tercetus selepas gempa bumi besar melanda Jepun pada tahun 2011, mencetuskan tsunami dahsyat yang menenggelamkan loji berkenaan dan menyebabkan tiga daripada enam reaktornya mengalami kerosakan teruk.
Hubungan China-Jepun sememangnya tegang sejak sekian lama, sebahagian besarnya akibat warisan imperial Jepun, dan China sebelum ini mengecam keras tindakan Tokyo melepaskan air sisa terawat itu yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab dari segi alam sekitar.
Pihak berkuasa kastam China turut memaklumkan bahawa syarikat-syarikat pengeluar yang sebelum ini menggantung import perlu memohon semula pendaftaran di China dan akan dikenakan pengawasan yang “ketat”.