ecb-10

ECB Dijangka Naikkan Kadar Faedah Kali Ketujuh, Namun Berkemungkinan Lebih Kecil

Bank Pusat Eropah (ECB) dijangka mengumumkan satu lagi kenaikan kadar faedah pada Khamis ini.

Namun begitu, para penganalisis berbelah bahagi tentang jumlah kenaikan yang akan diputuskan dengan berlatarbelakangkan inflasi yang jauh di atas sasaran dua peratus bank pusat serta kegawatan pasaran.

Sejak Julai tahun lalu, ECB telah menaikkan 3.5 peratus kadar faedah bagi meredakan tekanan kos tenaga dan makanan yang melonjak akibat serangan Rusia di Ukraine.

Kini terdapat perdebatan tentang sama ada ECB akan memilih kenaikan 50 mata asas seperti tiga pertemuan yang lalu, atau hanya menaikkan sebanyak 25 mata asas.

Meneliti perkembangan semasa, majoriti penganalisis melihat peningkatan kadar yang lebih kecil berikutan inflasi semakin perlahan serta prospek ekonomi negara anggota yang stabil.

Data minggu lalu menunjukkan ekonomi zon eropah berkembang 0.1 peratus pada suku pertama.

Walaupun sederhana, EU berkata angka itu menunjukkan “daya tahan” terhadap latar belakang krisis tenaga yang mencabar.

“Kedua-dua kenaikan kadar 25 mata asas dan 50 mata asas nampaknya telah menjadi pilihan untuk dibincangkan,” kata ahli ekonomi ING, Carsten Brzeski.

Jika inflasi zon euro meningkat lebih tinggi daripada jangkaan, “hawk” mungkin masih memenangi hujah untuk kenaikan yang lebih besar, tambahnya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *