ecb2

ECB Potong Kadar Faedah Buat Kali Pertama Sejak 2019, Namun Melihat Laluan ‘Beralun’

Bank Pusat Eropah (ECB) mengurangkan kadar faedah buat kali pertama sejak 2019 semalam apabila inflasi EU dilihat semakin mereda.

Bagaimanapun, Presiden ECB Christine Lagarde berkata laluan untuk bergerak kehadapan adalah tidak jelas dan memberi amaran tentang “jalan yang beralun”.

Kadar faedah utama diturunkan daripada rekod tertinggi sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 3.75 peratus.

Susulan rentetan kenaikan kadar faedah ECB yang tidak pernah berlaku sebelum ini bermula sejak pertengahan 2022, inflasi kini dilihat semakin menurun perlahan-lahan ke arah sasaran dua peratus ECB.

Inflasi di 20 negara yang berkongsi Eropah telah jatuh kepada 2.6 peratus daripada lebih 10 peratus pada akhir 2022, sebahagian besarnya disebabkan oleh kos bahan api yang lebih rendah dan pengurangan masalah bekalan selepas pandemik.

Namun begitu, penurunan itu telah terhenti baru-baru ini menjadikan permulaan kitaran pelonggaran dasar ECB kini kelihatan lebih tidak menentu, seperti yang berlaku di Amerika Syarikat.

Lagarde juga berkata “inflasi berkemungkinan kekal di atas sasaran sehingga tahun depan.”

Pemotongan semalam, yang pertama sejak September 2019 itu menjadikan ECB menyertai keputusan dasar bank pusat Kanada, Sweden dan Switzerland.

Ketika ditanya adakah ECB sedang menunju fasa untuk keluar daripada pendirian monetari yang ketat, Lagarde berkata bahawa beliau tidak dapat mengesahkannya, namun kebarangkalian adalah kuat.

“Tetapi ia akan bergantung kepada data, dan apa yang sangat tidak pasti ialah sejauh mana kelajuan perjalanan kami dan masa yang akan diambil,” tambahnya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *