Laporan e-Conomy SEA 2024 yang diterbitkan oleh Google Malaysia, Temasek, dan Naom & Company menyatakan bahawa ekonomi digital Malaysia dijangka mencecah antara AS$45 bilion hingga AS$70 bilion (RM201.2 bilion hingga RM312.9 bilion) dalam Gross Merchandise Value (GMV) menjelang 2030., dipacu oleh sektor e-dagang dan pelancongan dalam talian.
Kategori perkhidmatan kewangan digital turut menunjukkan peningkatan melalui pembayaran digital, pinjaman digital, pengurusan kekayaan digital, dan insurans digital.
Pada tahun 2024, nilai transaksi pembayaran digital mencapai RM768.84 bilion, baki pinjaman digital mencecah RM53.64 bilion, aset di bawah pengurusan digital sebanyak RM58.11 bilion, dan premium insurans digital berjumlah RM2.23 bilion.
Setiausaha Agung Kementerian Komunikasi dan Digital, Fabian Bigar, dalam ucapannya, menyatakan ekonomi digital dijangka menyumbang 25.5% daripada KDNK Malaysia.
Negara berada dalam kedudukan kukuh untuk memanfaatkan pertumbuhan ini melalui infrastruktur digital, keselamatan siber, dan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Gelombang digital ini juga dijangka menarik pelaburan RM14.3 bilion serta mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan.
Dalam mendepani cabaran global, Malaysia telah melaksanakan Dasar Awan Negara dan menubuhkan Pejabat AI Negara (NAIO). Dasar Awan Negara memberi tumpuan kepada inovasi perkhidmatan awam, keselamatan data, dan keterangkuman digital.
Sementara itu, NAIO bertujuan memperkasakan kapasiti AI negara dan kerjasama serantau, sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Add a Comment