tesla-e1619499749935

Elon Musk Derma Lebih AS$5.7b Dalam Saham Tesla Pada November Lalu

Ketua pegawai eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk dilaporkan telah menderma hampir AS$6 bilion dalam saham pengeluar kereta elektrik terbesar di dunia itu kepada badan kebajikan pada November lalu.

Menurut makluman kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Pasaran Saham (SEC) Amerika Syarikat (AS) semalam, lebih daripada lima juta saham Tesla Inc telah didermakan dari 19 hingga 29 November lalu.

Berdasarkan harga penutupan saham Tesla sepanjang lima hari Musk menjual saham tersebut, jumlah derma dianggarkan mencecah AS$5.74 bilion, menjadikannya salah satu derma kebajikan terbesar dalam sejarah.

Dokumen kepada SEC itu bagaimanapun tidak mendedahkan nama badan kebajikan yang menerima derma dan badan amanah yang menguruskan transaksi tersebut.

Musk dalam kenyataan yang lalu pernah memberi isyarat bahawa beliau akan menjual sahamnya jika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat membuktikan bahawa mereka dapat menggunakannya untuk menangani isu kebuluran global.

Para penganalisis melihat bahawa pendermaan saham Tesla itu akan memberi faedah cukai kepada Elon Musk berikutan saham yang didermakan kepada badan kebajikan tidak tertakluk kepada cukai keuntungan modal sebagaimana yang dikenakan jika saham itu dijual.

Musk pada Disember lalu dianggarkan perlu membayar cukai lebih daripada AS$10 bilion, hasil daripada penjualan opesyen yang besar pada 2021.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *