musk-dogecoin

Elon Musk Disaman AS$258 bilion Atas Dakwaan Menjadi Punca “Penipuan” Dogecoin

Saman-saman oleh para pelabur yang berasa tertipu dengan janji mata wang maya semakin meningkat di Amerika Syarikat.

Keith Johnson seorang pelabur dogecoin telah memfailkan tuntutan makhamah sebanyak AS$258 bilion terhadap Elon Musk serta syarikatnya Tesla dan SpaceX.

Beliau yang dilaporkan telah kehilangan wang selepas melabur dalam dogecoin, menggambarkan dirinya sebagai “warganegara Amerika yang ditipu” oleh apa yang dipanggilnya “Skim Piramid Kripto Dogecoin.”

Dogecoin pada asalnya dicipta sebagai jenaka, namun nilainya mula melonjak dan jatuh didorong oleh promosi Elon Musk.

Johnson meminta saman yang difailkan di mahkamah New York untuk diklasifikasikan sebagai tindakan kelas saman bagi pihak yang mengalami kerugian dengan melabur dalam dogecoin sejak 2019.

Menurut beliau, sejak Musk mula mempromosikan mata wang maya itu, pelabur telah kerugian sekitar AS$86 bilion.

Oleh itu, Johnson ingin Musk membayar balik kepada para pelabur jumlah tersebut, ditambah dengan bayaran dua kali ganda sebagai ganti rugi.

Harga dogecoin hanya didagangkan dalam pecahan sen pada sebahagian besar tempoh kewujudannya.

Token ini mula menyaksikan lonjakan nilai pada awal 2021, meningkat kepada AS$0.73 pada Mei tahun lalu, di tengah-tengah kegilaan pembelian dalam isu GameStop dan dengan mesej-mesej Twitter yang ditulis oleh Musk.

Namun begitu, Dogecoin kini hanya bernilai kurang daripada enam sen dan Johnson berkata bahawa beliau yakin promosi Musk telah menaikkan “harga, had pasaran dan jumlah dagangan Dogecoin.”

Johnson menamakan CEO Tesla, Elon Musk dalam saman itu susulan kenyataan beliau kepada 98 juta pengikut Twitternya bahawa SpaceX akan menerima dogecoin sebagai pembayaran bagi produk derivatif tertentu.

Selain itu, beliau juga menyamakan dogecoin dengan skim piramid kerana mata wang maya tidak mempunyai nilai intrinsik, tidak disokong oleh aset fizikal dan bilangan token yang tidak terhad.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *