ukraine-russia-war

Emas Menjunam, Konflik Rusia-Ukraine Mereda Buat Seketika

Niaga hadapan emas berundur pada hari Selasa berikutan konflik antara Rusia-Ukraine kelihatan semakin mereda, sekali gus melemahkan permintaan safe haven emas.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh beberapa media, Kementerian Pertahan Rusia telah menarik balik sebahagian tentera yang berada di luar sempadan Ukraine.

“Beberapa latihan sudah berakhir manakala sebahagian daripadanya akan selesai dalam masa terdekat,” ujar Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu.

Isu latihan ketenteraan berskala besar yang telah bermula sejak Disember itu telah menarik perhatian ramai penganalisis di seluruh dunia yang bimbang jika Rusia akan melakukan serangan mengejut ke atas Ukraine.

Memetik beberapa kenyataan daripada pegawai AS, WSJ melaporkan bahawa Rusia berpotensi melancarkan serangan ke atas Ukraine bermula hari Rabu susulan penyertaan lebih 100,000 tentera mereka dalam latihan ketenteraan di Belarus.

Bagaimanapun, susulan perkembangan baharu ini, negara-negara antarabangsa kini dapat menarik nafas lega buat sementara waktu.

Dengan latar belakang itu, setakat jam 10 malam, kontrak hadapan emas bagi bulan April didagang sekitar AS$1,851.80 per aun, susut 1.00% sementara spot emas (XAU/USD) pula jatuh 1.10% ke paras AS$1,849.90 per aun.

Selain itu, melemahnya retorik bahawa akan berlakunya pencerobohan ke atas Ukraine oleh Rusia turut mendorong peningkatan aset-aset berisiko seperti saham.

Secara keseluruhannya, sentimen berkaitan geopolitik seperti ancaman perang di Rusia Barat kebiasaannya akan memberikan dorongan tambahan ke atas permintaan emas sebagai aset paling selamat.

Namun begitu, menyandarkan pergerakan emas dengan keadaan geopolitik adalah satu landasan yang goyah kerana sukar untuk kita menjangkakan apakah tindakan seterusnya.

Oleh itu, secara fundamental, pasaran emas masih kelihatan bullish berikutan kebimbangan mengenai pemulihan global daripada wabak serta reaksi bank pusat di seluruh dunia.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *