refinery-oil

Empat Negara Gesa EU Gugurkan Label Pelaburan Hijau Pada Tenaga Gas

Austria, Denmark, Sweden dan Belanda telah menggesa Kesatuan Eropah untuk tidak melabelkan projek tenaga gas sebagai pelaburan hijau ketika EU cuba untuk memuktamadkan peraturan sama ada bahan api itu layak ditandakan sebagai tenaga yang mampan.

Hal ini kerana Suruhanjaya Eropah pada tahun lalu telah merangka rancangan untuk melabelkan gas dan tenaga nuklear sebagai pelaburan hijau.

Isu tersebut telah memecah belahkan pendirian 27 negara blok berikutan sebahagian daripada mereka tidak bersetuju tentang bagaimana bahan api itu boleh menyumbang kepada peralihan Eropah kepada tenaga bersih.

“Kekurangan bukti saintifik untuk memasukkan gas fosil dalam Taksonomi sepatutnya membawa kepada pertimbangan semula cadangan oleh Suruhanjaya Eropah,” kata empat negara itu dalam surat kepada ketua perkhidmatan kewangan EU.

Pelaburan gas tidak boleh dilabelkan sebagai hijau melainkan ia mengeluarkan kurang daripada 100 gram karbon dioksida setiap kilowatt jam, kata empat negara itu.

Perkara itu juga sejajar dengan cadangan yang dibuat minggu lalu oleh penasihat pakar EU mengenai peraturan, tetapi jauh lebih rendah daripada had 270g dalam rancangan draf Suruhanjaya.

Negara-negara blok Eropah kini sedang menunggu cadangan terakhir Suruhanjaya, yang dikatakan akan diterbitkan tidak lama lagi.

Setelah diterbitkan, majoriti Parlimen Eropah atau majoriti besar negara anggota EU – 20 daripada 27 negara – boleh menyekat peraturan tersebut.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *