fb-meta

EU Luluskan Pemerolehan Facebook Ke Atas Kustomer

EU pada hari ini meluluskan pemerolehan Facebook ke atas Kustomer, sebuah teknologi perkhidmatan pelanggan, dengan syarat para pesaing dapat mengakses tanpa halangan kepada platform tersebut.

Facebook, kini dikenali sebagai Meta, pada tahun 2020 mengumumkan pembelian Kustomer, sebuah syarikat AS yang menyediakan perisian khas bagi membolehkan perniagaan mengurus interaksi pelanggan dalam satu alat melalui telefon, e-mel, mesej teks, WhatsApp, Messenger dan Instagram.

Suruhanjaya EU yang mengendalikan pihak berkuasa antimonopoli, diminta oleh 10 negara di bawah blok mereka untuk menjalankan siasatan ke atas pemerolehan tersebut.

Pemerolehan telah diluluskan namun dengan syarat yang ketat, termasuk pencalonan pemegang amanah luar yang akan memastikan Meta berpegang pada janjinya.

“Keputusan kami hari ini akan memastikan bahawa pesaing inovatif dan peserta baharu dalam pasaran perisian pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) boleh bersaing secara efektif,” kata Ketua Persaingan EU, Margrethe Vestager dalam satu kenyataan.

“Komitmen yang ditawarkan oleh Meta memastikan pesaingnya akan terus mendapat akses percuma dan setanding kepada saluran pemesejan penting Meta,” katanya.

Urus niaga itu berada di bawah ambang kewangan biasa EU untuk melalukan penyiasatan pemerolehan. Bagaimanapun, suruhanjaya kini lebih berhati-hati dengan tindakan gergasi teknologi ke atas syarikat-syarikat baru dan bagaimana ianya berpotensi menjejaskan persaingan.

Tambahan pula, pengambilalihan ke atas Kustomer ini memicu kebimbangan ketika Meta masih dalam proses memautkan perkhidmatan e-dagang ke platformnya, terutamanya perkhidmatan pemesejan WhatsApp dan Messenger.

Antara isu yang menjadi tumpuan adalah penggunaan teknologi popular “chat bot” Kustomer, saluran dialog pelanggan yang digunakan oleh bank, pejabat perubatan dan syarikat penerbangan di mana pengguna memasukkan maklumat-maklumat sensitif.

“Kami gembira dengan pelepasan penggabungan Kustomer oleh Suruhanjaya Eropah. Ia menunjukkan bahawa pengambilalihan Kustomer itu akan mewujudkan lebih banyak pilihan dalam pasaran CRM yang kompetitif,” kata jurucakap Meta.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *