Gergasi perkhidmatan kewangan Britain, Ernst & Young (EY) yang pada minggu lalu menggugurkan rancangan untuk memecah unit audit dan penasihatnya berkata ia akan mengurangkan 3,000 pekerjaan di AS.
“Selepas menilai kesan keadaan ekonomi semasa, kadar pengekalan pekerja yang kukuh serta lebihan kapasiti di bahagian firma kami, kami telah membuat keputusan yang sukar untuk memisahkan kira-kira 3,000 pekerja AS, yang mewakili kurang daripada lima peratus tenaga kerja AS kami,” kata seorang Jurucakap EY.
Langkah itu dibuat selepas EY menghentikan penyusunan semula yang dirancang, yang dipanggil “Projek Everest,” yang bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan dan mengelakkan konflik kepentingan.
EY berkata pemberhentian kerja “adalah sebahagian daripada pengurusan berterusan perniagaan kami dan bukan hasil daripada semakan strategik yang dibuat baru-baru ini,” jelas jurucakap itu.
Pemotongan kerja tersebut mengikuti pengecilan saiz yang berlaku baru-baru ini di syarikat-syarikat perakaunan dan perunding besar yang lain.
Perunding teknologi Accenture pada Mac lalu mengumumkan bahawa ia memotong 19,000 pekerjaan, atau 2.5 peratus daripada tenaga kerjanya.
KPMG dan McKinsey juga telah mengumumkan pemotongan pekerjaan baru-baru ini.