Rakyat Malaysia kini menanggung beban besar akibat kenaikan harga makanan. Data menunjukkan mereka membelanjakan lebih banyak wang untuk barangan runcit berbanding mana-mana negara di Asia Tenggara.
Data dari Perkhidmatan Penyelidikan Ekonomi Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) menunjukkan perbelanjaan pengguna Malaysia untuk makanan di rumah mencecah US$1,940 (RM8,848 pada kadar tukaran 2023) setiap orang setahun. Ini menjadikannya yang tertinggi di rantau ini.
Negara kedua tertinggi ialah Singapura (US$1,831), diikuti Thailand (US$1,108), Filipina (US$1,070) dan Kemboja (US$898).
Walaupun data ini tidak mengambil kira inflasi atau kos sara hidup antara negara, pakar ekonomi berkata beberapa faktor menyumbang kepada tingginya perbelanjaan makanan rakyat Malaysia:
- Kebergantungan tinggi terhadap makanan import
- Kelemahan nilai Ringgit
- Kekurangan tenaga kerja sektor pertanian
- Kenaikan kos input makanan seperti baja dan makanan ternakan
- Kewujudan monopoli dan oligopoli dalam pengeluaran makanan
- Produktiviti pertanian yang rendah
Profesor Ekonomi di Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng, berkata keadaan ini menandakan keperluan mendesak untuk kerajaan dan sektor swasta meningkatkan pengeluaran makanan dan menaikkan kecekapan ladang.
Beliau turut mencadangkan usaha membubarkan monopoli, membebaskan pasaran makanan, mengurangkan kos pengangkutan dan penyimpanan, serta mempertingkatkan keberkesanan rantaian bekalan untuk menurunkan harga makanan.
Yeah juga menjelaskan bahawa walaupun pendapatan per kapita Malaysia lebih tinggi berbanding beberapa negara ASEAN lain. Perbelanjaan makanan per kapita Singapura hampir sama dengan Malaysia dari tahun 2017 hingga 2023. Malah pada tahun 2023, Singapura mencatatkan perbelanjaan yang lebih rendah.
Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Nik Syafiah Anis, memberitahu yang Malaysia merupakan antara negara ASEAN yang paling bergantung kepada import makanan. Ini menjadikannya terdedah kepada gangguan rantaian bekalan global dan kenaikan harga luar negara.
Sebagai perbandingan, negara seperti Thailand dan Vietnam telah menjadi kuasa pertanian utama. Vietnam jugaa meningkatkan eksport makanan sebanyak 15 kali ganda antara 1995 dan 2018, khususnya beras, makanan laut dan kopi.
Malaysia pula masih merupakan pengimport bersih makanan, dengan bil import makanan mencecah RM75.6 bilion pada 2022. Barang makanan yang paling banyak diimport termasuk lemak dan minyak sayuran/haiwan, bijirin dan produk tenusu.