fed-note

Fed Kekalkan Kadar Faedah Di Paras Tertinggi 22 Tahun

Federal Reserve masih mengekalkan kadar faedah di paras tertinggi 22 tahun, 5.25-5.5% dalam keputusan dasar terbarunya, bertujuan menstabilkan tekanan harga.

Pengumuman tersebut selari dengan jangkaan pasaran setelah data-data ekonomi AS menunjukkan pengembangan yang lebih cepat daripada jangkaan.

Menaikkan kadar faedah adalah satu mekanisme yang boleh digunakan oleh bank pusat untuk menangani inflasi.

Teorinya ialah dengan menaikkan kadar faedah dan menjadikannya lebih sukar untuk meminjam, pengguna akan berbelanja lebih sedikit dan itu akan membawa kepada kenaikan harga yang lebih perlahan.

Namun begitu, Fed telah berdepan kritikan dengan sebahagiannya melihat mengekalkan kadar faedah yang tinggi berisiko meletakkan ekonomi jatuh ke dalam kemelesetan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Fed berkata bahawa penggubal dasar sebulat suara untuk mengekalkan kadar semasa dan menambah bahawa mereka bersedia untuk menyesuaikan dasarnya jika diperlukan.

Bank pusat juga berkata mengekalkan sementara kadar faedah akan memberi waktu kepada mereka untuk “menilai maklumat tambahan” tentang prestasi ekonomi.

Pengerusi Fed Jerome Powell menyebutkan bahawa data yang baik mengenai ekonomi sejak beberapa bulan lepas “hanya permulaan dalam membina keyakinan” bahawa inflasi bergerak ke arah sasarannya.

Walaupun memahami bahawa inflasi yang tinggi menyebabkan “kesukaran” kerana ia menghakis kuasa perbelanjaan untuk pengguna, Powell berkata “perjalanan masih panjang”.

Penganalisis bebas ekonomi AS, Peter Jankovskis memberitahu bahawa penahanan kadar itu “tidak mengejutkan” dengan “tiada kesan segera ke atas saham”.

Beliau menambah bahawa “hasil bon jangka panjang yang tinggi” juga menyumbang kepada keputusan Fed tersebut.

Hasil bon kerajaan jangka panjang adalah penunjuk utama bagaimana pelabur melihat kekuatan ekonomi AS.

Powell juga berkata isu penting seperti “ketengangan geopolitik global” turut mempengaruhi keputusan bank pusat.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *