Genting Malaysia hantar tawaran rasmi lesen kasino komersial di New York

Boboi CTC
3 Min Read

Genting Malaysia Bhd (GENM) telah menghantar tawaran rasmi bagi mendapatkan lesen kasino komersial di kawasan selatan New York melalui anak syarikat milik penuhnya, Genting New York LLC (GENNY). Di mana ianya merupakan syarikat yang memiliki dan mengendalikan Resorts World New York City (RWNYC).

Permohonan tersebut dihantar kepada Suruhanjaya Permainan Negeri New York pada 27 Jun (waktu AS), sebagai maklum balas kepada permintaan untuk permohonan (RFA) yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemudahan Permainan New York pada Januari 2023.

Proses RFA ini bertujuan untuk menganugerahkan sehingga tiga lesen kasino komersial penuh di kawasan selatan negeri tersebut, termasuk bandaraya New York.

RWNYC, yang terletak di litar lumba Aqueduct yang bersejarah, kini merupakan satu-satunya kasino di New York City. Ia menempatkan kira-kira 5,500 mesin slot dan permainan meja elektronik, restoran, ruang acara, serta hotel Hyatt Regency dengan 400 bilik.

Sejak mula beroperasi pada Oktober 2011, RWNYC kini bersedia untuk berkembang menjadi destinasi pusat peranginan bersepadu bertaraf dunia. GENM menyatakan bahawa pelan transformasi bernilai berbilion dolar itu akan memacu pertumbuhan dan peluasan pasaran fasa seterusnya untuk RWNYC.

Setakat ini, hanya ada 4 kasino yang diberikan lesen komersial di New York, Amerika Syarikat.

Pelan pembangunan bernilai AS$5.5 bilion itu melibatkan pusat peranginan seluas 5.6 juta kaki persegi yang merangkumi kasino penuh, hotel dengan 2,000 bilik, dewan hiburan berkapasiti 7,000 tempat duduk, serta lebih 10 ekar kawasan hijau untuk komuniti.

“Lima belas tahun lalu, Resorts World berjanji untuk menjadikan tapak ini sebagai pemacu ekonomi bagi Southeast Queens, bandaraya New York dan seluruh negeri New York,” kata Presiden Genting Americas East, Robert DeSalvio.

“Kami telah berjaya dan kini menjana hasil kasino dan cukai tahunan tertinggi berbanding mana-mana kasino komersial lain di AS. Hari ini merupakan detik penting untuk kami mencadangkan pembangunan Resorts World Integrated Resort bertaraf dunia, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan dan hasil cukai baharu seawal Julai 2026,” tambahnya.

GENM menekankan status “sedia dibina” RWNYC sebagai kelebihan utama.

Dengan infrastruktur sedia ada, tenaga kerja berpengalaman, dan kedudukan kukuh dalam komuniti setempat, RWNYC bersedia untuk memulakan operasi permainan meja serta pembangunan berskala penuh dalam tempoh enam bulan selepas lesen diberikan.

Kelebihan ini menjadikan RWNYC satu-satunya cadangan yang mampu menjana hasil cukai dan pekerjaan tambahan secara segera kepada negeri tersebut.

RWNYC mengunjurkan penciptaan 5,000 pekerjaan pembinaan kesatuan dan 5,000 pekerjaan tetap, dengan lebih separuh pengambilan baharu dijangka terdiri daripada penduduk Queens.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *