Sekurang-kurangnya lebih 20 penerbangan keluar dan masuk ke pulau peranginan Indonesia, Bali, telah dibatalkan menurut laman web rasmi lapangan terbang antarabangsa pulau itu pada Rabu, susulan letusan gunung berapi di timur kepulauan tersebut yang menghamburkan abu setinggi 10 kilometer ke udara.
Gunung Lewotobi Laki-Laki, sebuah gunung berkembar setinggi 1,703 meter yang terletak di pulau pelancongan Flores di timur Indonesia, meletus pada Selasa. Pihak berkuasa turut meningkatkan tahap amaran kepada paras tertinggi.
Penerbangan yang dibatalkan termasuk perkhidmatan Jetstar dan Virgin Australia ke beberapa bandar di Australia. Beberapa penerbangan Air India, Air New Zealand, TigerAir dari Singapura dan Juneyao Airlines dari China juga dibatalkan kerana letusan gunung berapi, menurut laman web lapangan terbang antarabangsa Bali.
Beberapa penerbangan domestik AirAsia ke Labuan Bajo di Flores turut terjejas.

Seorang pegawai khidmat pelanggan lapangan terbang Bali berkongsi :
“Lapangan terbang Ngurah Rai masih beroperasi seperti biasa, tetapi bergantung kepada jadual penerbangan. Beberapa penerbangan dibatalkan kerana gunung berapi, bergantung kepada laluan dan syarikat penerbangan.”
Abu gunung berapi turut turun di beberapa kampung sekitar Gunung Lewotobi Laki-Laki dan menyebabkan sekurang-kurangnya satu kampung dipindahkan lewat malam Selasa, menurut Agensi Mitigasi Bencana Indonesia.
Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau korban jiwa yang diterima.
Pada November lalu, Gunung Lewotobi Laki-Laki telah meletus beberapa kali, mengorbankan sembilan nyawa, membatalkan banyak penerbangan antarabangsa ke Bali, dan menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan.
Gunung berapi ini dinamakan “Laki-Laki” yang bermaksud lelaki dalam Bahasa Indonesia dan merupakan pasangan kepada gunung berapi “Perempuan” yang lebih tenang.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, sering mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik (Pacific “Ring of Fire”).