oil-13

Harga Minyak Meroket, OPEC+ Mungkin Umumkan Pemotongan Output Terbesar Sejak Pandemik

Harga minyak melonjak hampir AS$4 hari ini apabila OPEC+ mempertimbangkan untuk mengurangkan pengeluaran lebih daripada satu juta tong sehari (bpd) bagi menyokong harga.

Anggaran jumlah pengurangan itu akan menjadikannya pemotongan terbesar OPEC+ sejak permulaan pandemik Covid-19.

Setakat jam 7.45 petang, niaga hadapan minyak mentah Brent melonjak kepada AS$88.50, naik 4% manakala minyak mentah WTI pula didagang sekitar AS$82.90, naik 4.30%.

Harga minyak sebelum ini merekodkan penurunan selama empat bulan berturut-turut sejak Jun yang lalu berikutan gangguan permintaan akibat penutupan Covid-19 di China yang merupakan pengguna tenaga terbesar.

Selain itu, keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu akibat pengukuhan dolar dan pengetatan dasar Fed yang agresif turut menambah tekanan.

Bagi memulihkan harga, OPEC dan sekutu yang dikenali dengan OPEC+ dijangka akan bertemu di Vienna pada Rabu ini bagi membincangkan jumlah pengurangan output yang lebih besar berbanding anggaran sebelum ini.

Jika dipersetujui, ia akan menjadi pemotongan bulanan kedua berturut-turut pertubuhan itu selepas pertubuhan itu mengurangkan pengeluaran sebanyak 100,000 bpd pada bulan lepas.

“Dua tanda tanya terbesar ialah prospek permintaan (terutamanya di China) dan apa yang berlaku kepada bekalan Rusia selepas larangan EU berkuat kuasa pada 5 Disember ini,” kata Peter McNally, peneraju global untuk tenaga di firma penyelidikan pelaburan Third Bridge.

“Satu hal yang menarik melihat OPEC+ sedang mempertimbangkan pengurangan pengeluaran apabila Brent sukar untuk berada di bawah AS$85 setong,” kata Helge Andre Martinsen, penganalisis minyak kanan di DNB Bank ASA.

“Kebanyakan anggota OPEC+, termasuk Rusia, masih menghasilkan di bawah paras pengeluarannya berikutan kekangan kapasiti. Oleh itu, majoriti negara yang terlibat tidak akan berasa terkesan untuk menyokong pemotongan itu,” tambahnya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *