China-road

IMF: Kelembapan Ekonomi China Berpotensi Mengheret Pertumbuhan Asia

Kelembapan ekonomi China yang “pantas dan tanpa karakteristik” dijangka mengheret pertumbuhan di seluruh benua Asia sehingga akhir tahun depan.

Amaran yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) itu sekali gus menggelapkan unjuran ekonomi global yang telah pun suram.

Prospek ekonomi di seluruh dunia semakin malap pada tahun ini berikutan hampir seluruh negara berdepan kos sara hidup yang lebih tinggi, keadaan kewangan yang terjejas dan peningkatan ketidaktentuan akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Krisis itu telah memperlahankan pemulihan daripada pandemik Covid-19, walaupun Asia kekal lebih baik berbanding bahagian lain di dunia, kata IMF dalam Tinjauan Ekonomi Serantaunya.

Bagaimanapun pertumbuhan di rantau Asia bakal menghadapi halangan daripada perkembangan ekonomi di China yang dibebani oleh dasar sifar Covid dan krisis dalam sektor hartanah, kata organisasi itu.

Awal bulan ini, IMF telah mengurangkan unjuran pertumbuhannya untuk China kepada 3.2 peratus bagi tahun ini.

Unjuran itu akan menjadi angka pengembangan terkecil pernah direkodkan oleh ekonomi kedua terbesar di dunia itu dalam kira-kira 40 tahun lalu, tidak termasuk tahun pertama dunia dilanda pandemik.

Laporan baharu IMF itu juga menurunkan unjuran pertumbuhan Asia kepada empat peratus tahun ini, turun 0.9 peratus mata daripada tinjauan sebelumnya pada April.

Walaupun IMF melihat terdapatnya peningkatan pertumbuhan di China dan Asia pada tahun hadapan, namun ia masih “jauh di bawah” purata 5.5 peratus dalam tempoh 20 tahun.

Menurut IMF, asas kelembapan China yang meluas dijangka akan memberi kesan limpahan yang signifikan ke seluruh Asia melalui hubungan perdagangan dan kewangan.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *