India, penanam gula kedua terbesar di dunia, berkemungkinan akan menghadkan eksport pada sekitar enam juta tan pada musim ini.
Rancangan India itu memburukkan lagi kebimbangan mengenai bekalan yang telah mendorong harga global ke paras tertinggi lebih daripada enam tahun.
Menurut Persatuan Kilang Gula India, eksport gula akan berjumlah 6.1 juta tan pada tahun tanaman semasa yang bermula 1 Oktober, yang mana lebih rendah berbanding ramalannya sembilan juta.
Hal ini mungkin memberi isyarat bahawa kerajaan India yang telah membenarkan penghantaran enam juta tan dihantar musim ini, berkemungkinan tidak akan meluluskan sebarang penambahan.
Harga gula global telah naik ke paras tertinggi sejak akhir 2016 minggu ini berikutan peniaga melihat pengeluaran yang lebih lemah di India akan mendorong kerajaan menyekat eksport.
India sebelum ini telah bertindak menyekat eksport negaranya demi menjaga bekalan domestik dan memastikan harga kekal stabil.
Setiausaha Makanan Sanjeev Chopra berkata keputusan eksport akan dibuat pada Februari ini, selepas mengambil kira pengeluaran dan permintaan tempatan.
Pengeluaran India mungkin menurun kepada 34 juta tan musim ini, kata persatuan kilang gula itu pada hari Selasa.
Angka tersebut menurun daripada anggaran sebelum ini sebanyak 36.5 juta tan, dan pengeluaran 35.8 juta tan setahun sebelumnya.
“Hasil tebu di Maharashtra berkurang daripada yang dijangkakan kerana cuaca buruk dan itu akan mengurangkan pengeluaran keseluruhan negara,” kata Aditya Jhunjhunwala, presiden persatuan itu.
“Kami tidak akan meminta kerajaan untuk meningkatan eksport. Kami kini akan menumpukan perhatian untuk melengkapkan kuota semasa. Kami akan menyemak semula pada Mac, selepas melihat pengeluaran sebenar,†katanya.