Kadar inflasi teras Jepun meningkat kepada 3.7 peratus pada bulan Mei

Boboi CTC
3 Min Read

Kadar inflasi teras Jepun meningkat kepada 3.7 peratus pada bulan Mei, menurut data rasmi yang diumumkan hari ini, sekali gus menimbulkan ancaman terhadap kepimpinan Perdana Menteri Shigeru Ishiba menjelang pilihan raya Julai ini.

Harga beras dilaporkan lebih daripada dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya, meskipun kerajaan telah melepaskan stok kecemasan bahan makanan ruji itu.

Kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga barang berkemungkinan menjejaskan Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Ishiba pada pilihan raya Dewan Tinggi Parlimen bulan depan.

Data hari ini (tidak termasuk harga makanan segar yang mudah berubah) melebihi jangkaan pasaran dan meningkat daripada kadar kenaikan tahunan 3.5 peratus pada April.

Kenaikan harga melibatkan pelbagai produk makanan, termasuk barangan tidak segar seperti kopi dan coklat. Bil elektrik naik sebanyak 11.3 peratus, manakala caj gas meningkat 5.4 peratus.

Ishiba telah menjanjikan bantuan tunai sebanyak ¥20,000 (RM585) kepada setiap rakyat (dua kali ganda jumlah itu bagi kanak-kanak) bagi membantu rakyat menghadapi tekanan inflasi menjelang pilihan raya.

Kenaikan harga beras yang terlalu tinggi memaksa kerajaan untuk mengeluarkan simpanan beras untuk menstabilkan harga pasaran.

Pilihan raya ini sangat penting bagi Ishiba, selepas sokongan awam terhadap pentadbirannya merosot ke tahap terendah sejak beliau mengambil alih jawatan pada Oktober lalu. Pemerhati melihat lonjakan inflasi dan harga beras yang tinggi sebagai antara puncanya.

Kekurangan bekalan beras, yang berpunca daripada gangguan dalam rantaian bekalan, menyebabkan harga beras melonjak 101 peratus pada Mei, berbanding 98 peratus pada April.

Kerajaan mula mengeluarkan stok simpanan sejak Februari untuk cuba menurunkan harga. Di mana ianya sesuatu yang biasanya hanya dilakukan semasa bencana.

Pelbagai faktor menyumbang kepada kekurangan beras ini, termasuk musim panas yang terlalu panas dan kering dua tahun lalu yang menjejaskan hasil tuaian di seluruh negara.

Sejak itu, beberapa peniaga didakwa menyorokkan bekalan beras untuk mengaut keuntungan kemudian hari, menurut pakar.

Keadaan ini bertambah buruk apabila berlaku pembelian panik tahun lalu susulan amaran kerajaan tentang kemungkinan berlakunya “mega-gempa bumi” yang tidak terjadi.

Melangkah ke hadapan, tarif Amerika Syarikat dijangka menekan syarikat-syarikat Jepun, dengan ahli ekonomi meramalkan kelembapan ekonomi akan berlaku.

Pertempuran yang semakin memuncak antara Iran dan Israel turut menambah tekanan terhadap kenaikan harga tenaga, sekali gus memberi risiko tambahan kepada ekonomi Jepun.

Awal minggu ini, Bank of Japan mengekalkan kadar faedahnya dan mengumumkan bahawa ia akan mengurangkan pembelian bon kerajaan secara berperingkat pada kadar yang lebih perlahan, memandangkan ketidaktentuan perdagangan boleh menjejaskan ekonomi keempat terbesar dunia itu.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *